Kuala Lumpur: Apa saja hukuman dikenakan Persekutuan Badminton Dunia (BWF) di atas ujian positif menggunakan bahan terlarang, Datuk Lee Chong Wei (gambar) harus menerimanya dengan hati terbuka.

Perkara itu disuarakah Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Tan Sri Tunku Imran Tunku Ja’afar yang mencadangkan agar pemain nombor satu dunia itu mengelak daripada membuat rayuan ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).

“Kita harap BWF melihat dari sudut simpati dalam mengenakan hukuman terhadap Chong Wei, tetapi jika ia dibawa ke CAS tidak akan ada sebarang perubahan,” katanya.

Jelasnya, sudah pasti hukuman yang akan dikenakan adalah penggantungan selama dua tahun (maksimum) dan CAS tidak akan mudah memberi ruang kepada atlet yang memang pasti mengambil bahan terlarang.

“Dalam kes Chong Wei ini lebih baik dia terus menerima hukuman BWF. Ia jalan terbaik berbanding membawa perkara ini ke CAS.

“Diplomasi jalan terbaik berbanding membawa perkara ini ke mahkamah. Itu pendapat peribadi saya dan bukannya kenyataan secara rasmi,” katanya.

Sebelum ini Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bercadang menggunakan perkhidmatan peguam sukan, Mike Morgan dalam usaha mengurangkan tempoh penggantungan maksimum dua tahun menjelang Panel Pendengaran Doping BWF yang dijangka berlangsung awal Disember ini.

Tunku Imran berkata, dia percaya pengambilan bahan terlarang dexamethasone yang bukan dadah mempertingkatkan prestasi dan juga status pemain nombor satu dunia bakal membantu Chong Wei.

“Chong Wei sangat berpengaruh dalam sukan badminton dan dia tidak pernah terbabit dengan sebarang isu doping sebelum ini, ditambah pula bahan terlarang itu bukan bahan mempertingkatkan prestasi.

“Saya rasa perkara itu akan diambil kira berikutan sumbangan diberikannya dalam sukan badminton. Dia sudah memberi pelbagai sumbangan dan BWF harus mengambil kira perkara ini.

“Perlawanan akhir Sukan Olimpik 2012 ketika menentang Lin Dan satu kejohanan yang ditonton ramai peminat, ia menunjukkan bahawa Chong Wei turut memberi impak,” katanya yang yakin pemain berusia 32 tahun itu mungkin mampu beraksi di Sukan Olimpik 2016 Rio jika tidak dikenakan hukuman penggantungan dua tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 November 2014 @ 5:10 AM