KONSERT 30 tahun Wings di Stadium Merdeka. FOTO Saifullizan Tamadi
Oleh Ridzuan Abdul Rahman
mohamadridzuan@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Hujan lebat sejak awal petang hingga ke malam tidak menjejaskan Konsert Ulang Tahun Ke-30 Wings biarpun persembahan tertangguh selama 30 minit.

Seperti dijangka kumpulan legenda ini berjaya menghiburkan hampir 20,000 peminat yang hadir di Stadium Merdeka, di sini, malam tadi.

Biarpun persembahan Wings hanya bermula pada 10.30 malam selepas nyanyian penyanyi undangan, kehebatan Awie, Joe, Eddie dan Black berjaya menghilangkan keresahan peminat yang sanggup berhujan.

Wings menyampaikan lebih 28 lagu dalam konsert mereka yang berlangsung selama tiga jam itu. Peminat juga turut sama menyanyi mengiringi persembahan Awie.

Wings membuka tirai persembahan dengan lagu Bazooka Penaka, Inspirasi Tamingsari dan Bujang Senang.

"Alhamdulillah walaupun hujan anda tak berganjak. Saya mewakili Wings mengucapkan jutaan terima kasih buat anda.

"Kami takkan lupa tarikh 31 Oktober ini, 30 tahun Wings dalam industri. Kami takkan lupa sejarah ini," kata Awie.

Tidak ketinggalan Wings turut menyampaikan lagu-lagu antaranya Orang Kita, Gemala Saktiku, Satelit Puaka, Rock 'n' Roll Lu Punya Suka, Jerangkung Dalam Almari, Blues Ular Sawa, Menakluk Kosmos, Ingatkan Dia, Sayap Illusi, Amuk dan Taman Rashidah Utama.

Mengakhiri persembahan, Awie menyampaikan lagu Peronda Jaket Biru.

Persembahan yang bermula pada 9.30 malam menampilkan Aweera, Bila, Afdlin Shauki, Datuk Hattan, Ito, Azlan & Typewriter serta Saiful Apek dan Yasin Yahya sebagai artis pembuka pentas.

Ia turut dimeriahkan dengan penampilan istimewa Datuk M. Nasir yang bertanggungjawab memperkenalkan Wings dalam industri seni tanahair.

Wings turut menyelitkan segmen istimewa apabila menjemput bekas pemain gitar asal Wings, Sham serta penyanyi Mel dan Mus May yang pernah menganggotai Wings selepas pengunduran Awie.

Mereka menyampaikan lagu Intanku Kesepian, Biru Mata Hitamku, Belenggu Irama, Potret Monalisa, Misteri Mimpi Syakilla, Di Ambang Wati dan Semalam Yang Hangat.

Konsert ini diadakan bagi meraikan ulang tahun ke-30 kewujudan Wings di persada seni tanahair.

Sebelum ini Wings pernah menjayakan konsert berskala besar lain antaranya di Istana Budaya termasuk yang terbaru Takkan Melayu Hilang Di Dunia pada pertengahan tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 November 2015 @ 1:58 PM