Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Superintendan R Supramaniam (tengah) melihat peta Buluh Telor, lokasi operasi pencarian Jashiah Rabu yang hilang sejak Jumaat lalu. - Foto Bernama
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Superintendan R Supramaniam (tengah) melihat peta Buluh Telor, lokasi operasi pencarian Jashiah Rabu yang hilang sejak Jumaat lalu. - Foto Bernama

Kuala Kubu Bharu: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) guru besar Sekolah Kebangsaan Tamat Keramat, Jashiah Rabu,53, yang hilang sejak 10 hari lalu, ditumpukan di sekitar kawasan anak sungai Kampung Buluh Telur.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Superintendan R Supramaniam berkata pencarian guru besar berkenaan membabitkan enam anak sungai dalam lingkungan dua kilometer radius dari perkampungan Orang Asli kampung itu.

"Polis akan terus berusaha menjejak Jashiah dan berharap menjumpai beliau dalam masa dua atau tiga hari ini," katanya di pusat operasi di sini, hari ini.

Supramaniam berkata operasi SAR itu membabitkan 61 anggota terdiri daripada polis, Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia, Veteran Komando Malaysia, Jabatan Sukarelawan Malaysia dan penduduk kampung berkenaan.

"Pasukan operasi SAR kini dipecahkan kepada enam kumpulan dalam mengesan mangsa yang hilang, apa yang kami harapkan adalah Jashiah ditemui dalam keadaan selamat," katanya.

Supramaniam berkata sebanyak 30 bungkus bantuan makanan kecemasan (Talian Hayat) berisi biskut, gula-gula, roti, lilin dan mancis ditempatkan di lokasi pencarian yang telah ditanda polis sebelum ini.

"Bungkusan berkenaan akan diletakkan setiap 300 meter bagi membantu Jashiah mendapat bekalan asas," katanya. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 November 2015 @ 9:31 PM