SAKIT pada bahagian abdomen boleh dikaitkan dengan kanser ovari.
KANSER ovari sukar dirawat apabila disedari pada tahap sudah lewat dan selalunya membawa maut.
Oleh Faizatul Farlin Farush Khan

Semakin ramai mempunyai pengetahuan mendalam mengenai kanser payu dara, bagaimanapun perkara sama tidak diperkatakan mengenai kanser ovari biarpun ia antara penyakit paling bahaya dan meragut nyawa ramai wanita.

Malah, kanser ovari menduduki tangga keempat bagi penyakit kanser paling biasa menyerang wanita di Malaysia dan diletakkan pada tangga kelapan secara keluruhan untuk kes yang direkodkan.

Hampir 50 peratus kes kanser ovari direkodkan pada tahap pertama dan kedua. Di Malaysia, bilangan yang dikesan menghidap kanser ovari lebih tinggi dalam kalangan wanita berbangsa Melayu diikuti Cina dan India.

Kanser ovari bermula pada bahagian ovari. Wanita memiliki dua ovari iaitu di kiri dan kanan rahim. Saiznya hanya sebesar badam dan ia berfungsi menghasilkan telur selain bertanggungjawab merembeskan hormon estrogen dan progesteron.

Ramai terlepas pandang mengenai kanser ovari apatah lagi ia tidak disedari sehinggalah apabila ia sudah merebak hingga ke bahagian pinggul dan abdomen.

Pada tahap yang sudah lewat ini, kanser itu lebih sukar dirawat dan selalunya membawa maut. Bagaimanapun, kanser ovari yang dikesan pada tahap awal iaitu kanser masih berada sekitar ovari, mempunyai peluang lebih cerah untuk pulih.

Kanser ovari terbahagi kepada tiga jenis iaitu ketumbuhan epitelium, ketumbuhan stromal dan ketumbuhan sel germa. Kanser ovari epitelium lebih lazim berlaku iaitu dalam 90 peratus kes yang dikesan. Ia bermula pada tisu nipis yang melindungi bahagian luar ovari.

Kanser ovari stromal pula bermula pada tisu ovari yang memiliki sel penghasil hormon dan selalunya dapat dikesan awal. Manakala kanser ovari sel germa pula bermula pada sel pengeluar telur dan ia jarang berlaku serta sering dikesan pada pesakit muda.

Antara faktor yang meningkatkan risiko menghidap kanser ovari ialah usia melebihi 50 tahun, mutasi gen yang diwarisi, terapi gantian hormon estrogen, tidak pernah mengandung, ­rawatan kesuburan, merokok, penggunaan alat kawalan kehamilan dalam rahim dan sindrom polisisitik ovari (PCOS).

Ujian akan dijalankan bagi mengesan kehadiran kanser ovari antaranya ujian pengimejan yang menggunakan ultra bunyi atau imbas CT pada bahagian abdomen dan pinggul.

Ujian darah juga boleh dilakukan bagi mengesan sejenis protein (CA125), yang terdapat pada permukaan sel kanser ovari.

Pada masa sama, pembedahan boleh dilakukan bagi mengambil sampel tisu dan cecair abdomen untuk mengesan kanser ovari.

Kanser ovari terbahagi kepada empat tahap iaitu tahap pertama apabila kanser ditemui pada satu atau dua bahagian ovari, tahap dua (kanser merebak ke bahagian pinggul), tahap tiga (kanser merebak ke abdomen) dan tahap empat iaitu apabila kanser ditemui di luar bahagian abdomen.

Menurut Pakar Perunding Onkologi Perubatan Hospital Beacon Dr Azura Rozila Ahmad, kanser ovari tidak menunjukkan sebarang simptom pada peringkat awal dan tidak ada cara mudah untuk mengesannya.

Antara simptom boleh dikaitkan dengan kanser ovari ialah kembung, rasa tekanan pada perut, kesakitan abdomen dan pinggul, rasa kenyang terlalu cepat ketika makan dan membuang air lebih kerap.

“Bagaimanapun, simptom berkenaan juga boleh dikaitkan ­dengan masalah lain yang bukan kanser.

Namun sekiranya ia berlaku secara berterusan dalam jangka panjang iaitu lebih beberapa minggu, disarankan membuat pemeriksaan dengan doktor,” katanya.

Dr Azura berkata, kurang kesedaran mengenai simptom yang dialami juga menyebabkan kanser ovari merebak tanpa dapat dikesan sehingga mencapai tahap lewat.

Katanya, sebaik kanser ovari dijangka sebagai pe­nyebab simptom yang berlaku, biasanya ia sudah merebak keluar dari kawasan ovari.

Malah, menurut Dr Azura, 70 peratus wanita dikesan menghidap kanser pada tahap tiga dan empat, dengan kadar kelangsungan hidup selama lima tahun hanya 30 peratus.

“Disebabkan simptom yang tidak spesifik, antara cabaran kanser ovari apabila ia tidak memiliki ujian awal yang boleh mengesannya supaya pesakit mampu menjalani rawatan lebih baik dan meningkatkan peratusan kelangsungan hidup.

“Ketika ini, tidak ada ujian yang benar-benar mampu mengesan kanser ovari pada tahap pertama iaitu tahap pulih amat tinggi.

“Ujian darah biasa dijalankan bagi mengesan kanser untuk mencari penanda kepada kehadiran kanser iaitu protein CA125 juga tidak begitu berkesan kerana hanya 85 daripada 100 wanita yang menghidap kanser memiliki kandungan CA125 lebih tinggi daripada biasa,” katanya.

Menurutnya, ujian itu juga tidak boleh diharapkan sepenuhnya kerana hanya 50 daripada 100 wanita yang menghidap kanser ovari pada tahap awal mencatat kandungan CA125 lebih tinggi daripada biasa.

Pada masa sama, wanita yang mengalami masalah kesihatan lain, bukannya kanser ovari juga boleh mencatat kandungan CA125 lebih ting­gi.

“Ujian Pap smear pula efektif untuk mengesan kanser serviks pada tahap awal tetapi tidak mampu mengesan kanser ovari sehingga ia berada pada tahap lewat,” katanya.

Pilihan rawatan utama untuk pesakit kanser ovari ialah pembedahan, kemoterapi, terapi hormon, terapi tumpu dan terapi radiasi.

Dr Azura berkata, kebiasaannya lebih dua atau lebih jenis rawatan digunakan dan pilihan rawatan bergantung kepada jenis kanser dan tahap kanser.

Malah, tahap sebenar kanser ovari pesakit tidak dapat ditentukan secara tepat bagi pesakit yang tidak meng­gunakan cara pembedahan sebagai pilihan utama mereka.

Faktor lain yang menentukan jenis rawatan terbaik pesakit termasuk keadaan kesihatan pesakit secara menyeluruh, sama ada merancang untuk mendapat anak pada masa depan dan pertimbangan peribadi lain.

Dr Azura berkata, memiliki satu atau lebih faktor risiko tidak bermakna seseorang wanita itu akan mendapat kanser ovari tetapi ia hanya meningkatkan kebarangkalian lebih tinggi berbanding mereka yang tidak berisiko.

Katanya, biarpun faktor risiko paling kuat ialah usia, tetapi kanser ovari selalunya menyerang mereka yang sudah menopaus.

“Sekiranya wanita memiliki lebih daripada dua ahli keluarga terdekat yang menghidap kanser ovari, payudara atau kolon pada usia muda iaitu di bawah 50 tahun, risiko mereka menghidap kanser ovari semakin meningkat.

“Jika berasa diri memiliki risiko tinggi menghidap kanser ovari, segera bertemu dok­tor untuk melakukan ujian genetik mengesan kanser itu pada tahap awal termasuk membuang ovari, sekali gus mengurangkan risiko,” katanya.

Pada masa sama, Dr Azura berkata, penggunaan terapi hormon selepas menopaus terutama dalam jangka panjang iaitu antara lima hingga 10 tahun, menunjukkan kaitan yang kukuh dengan kanser ovari.

Selain itu katanya, cara hidup tidak sihat termasuk mengalami obesiti antara faktor yang meningkatkan risiko kanser ovari.

Menurutnya, tahap kematian dalam kalangan penghidap kanser ovari juga lebih tinggi bagi mereka yang berbadan besar, berbanding yang memiliki berat badan sihat.

Biarpun usia antara faktor utama kanser ovari tetapi ada kajian menunjukkan wanita lebih berusia bertindak balas dengan lebih baik kepada rawatan yang diberi.

“Terdapat strategi me­ngurangkan risiko kanser ovari antaranya dengan cara memilih pil sebagai kaedah mengawal kehamilan berbanding menggunakan alat dalam rahim.

“Risiko mendapat kanser ovari berkurangan sebanyak 50 peratus bagi wanita yang mengamalkan pengambilan pil perancang kehamilan selama lima tahun atau lebih, berbanding mereka yang tidak pernah menggunakan kaedah itu.

“Bagaimanapun, pil perancang juga mempunyai kesan sampingan dan risiko serius. Oleh itu, wanita perlu berbincang dengan doktor terlebih dulu sebelum me­ngambil pil perancang bagi memahami risiko dan manfaatnya.

“Pembedahan histerek­tomi dan pembuangan kedua-dua tiub peranakan ­boleh mengurangkan peluang mendapat kanser ovari, tetapi ia hanya boleh dilakukan atas sebab perubatan yang disahkan, bukan untuk kesannya pada risiko kanser ovari.

“Apa yang paling penting, wanita perlu peka terhadap simptom yang dialami oleh tubuh mereka dan sekiranya ia berterusan beberapa ming­gu, segera bertemu doktor untuk menjalani ujian.

“Mereka juga perlu memahami semua risiko dan kesan sampingan terapi berbeza sebelum membuat keputusan jenis rawatan yang dimahukan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 November 2015 @ 10:55 AM