BEKAS pesakit dan penganjur bergambar bersama pada kempen BCWA.
BEKAS pesakit dan penganjur bergambar bersama pada kempen BCWA.

Bukan model biasa, tetapi 12 wanita yang dipaparkan dalam kalendar Kesatuan Kebajikan Kanser Payudara (BCWA) 2016 menampilkan 12 bekas pesakit kanser payudara yang berjaya melawan kanser dan kini meneruskan hidup bersama keluarga masing-masing.

Kalendar yang dihasilkan sempena kempen kutipan dana dengan tema ‘Anda Tidak Sendirian’ itu boleh membantu meningkatkan kesedaran orang ramai dan keyakinan golongan pesakit untuk melawan penyakit berkenaan.

Ia memaparkan gambar menarik bekas pesakit kanser payu dara yang sudi berkongsi sisi positif diri mereka melalui gambar unik yang dirakam di dalam kolam.

Presiden BCWA Profesor Madya Dr Zaharah Aiyub berkata, projek terbaru BCWA itu amat istimewa kerana bekas pesakit terbabit berjaya mengetepikan rasa gugup mereka untuk berkongsi mengambil bahagian dalam kempen berkenaan.

Katanya, antara objektif kalendar itu adalah untuk menunjukkan bahawa bukan saja wanita terbabit berjaya melawan kanser, tetapi bekas pesakit kanser payu dara juga mampu menjalani kehidupan yang bermakna di samping orang tersayang.

“Mereka juga terbabit dengan kempen ini kerana mahu menunjukkan kepada semua pesakit kanser yang sedang melawan penyakit itu ketika ini bahawa mereka tidak bersendirian,” katanya yang juga antara 12 model yang dipaparkan dalam kalendar itu.

Kempen pengumpulan dana berkenaan dijayakan oleh BCWA dengan kerjasama Nupts & Such, MPhotoo, Beauty Haven dan The S’Pro Hairdressing.

Sesi fotografi dijalankan di bawah air dalam kolam renang iaitu satu pengalaman baru kepada semua bekas pesakit kanser berkenaan.

Jurufoto utama dan penganjur bersama kempen itu, Calvin Goh, berkata matlamatnya adalah merakamkan detik yang menunjukkan model terbabit gembira dan tidak membiarkan penyakit kanser meragut kebahagiaan mereka.

“Secara tidak langsung, sesi foto dalam air itu mahu menonjolkan sisi keberanian dan halangan yang berjaya ditempuh bekas pesakit kanser dan kegembiraan selepas membebaskan diri daripada kanser.

“Paling penting mesej yang cuba disampaikan mereka kepada semua orang mereka mampu menikmati kualiti kehidupan yang baik selepas kanser,” katanya.

Pada sesi fotografi berkenaan, kebanyakan model berasa gentar untuk masuk ke dalam air, bagaimanapun keyakinan diri mereka perlu menempuh cabaran untuk menjayakan kempen itu, melancarkan proses penggambaran, malah kebanyakan mereka berasa selesa selepas beberapa ketika.

BCWA ialah organisasi sukarelawan yang melakukan pelbagai usaha untuk mengumpul dana bagi meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap barah payu dara selain menganjurkan pemeriksaan payudara secara klinikal.

Ia juga berusaha memupuk kesedaran mengenai kepentingan melakukan pemeriksaan payu dara sendiri dan mengedar risalah kesihatan payu dara untuk membantu mengesan kanser pada tahap awal.

Kalendar berkenaan dijual pada harga RM30 dan keseluruhan dana akan disalurkan ke tabung BCWA. Bagi mendapatkan kalendar itu, boleh layari laman www.breastcancer.org.my.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 November 2015 @ 10:58 AM