MAKIN bahagia dengan kehadiran Aasiyah.
MAKIN bahagia dengan kehadiran Aasiyah.
CHE Ta, Zain dan Aaisyah bersama Ayu Raudhah dan Sasha.
CHE Ta, Zain dan Aaisyah bersama Ayu Raudhah dan Sasha.
CHE Ta bersama suami dan anak.
CHE Ta bersama suami dan anak.
Oleh Wahi Aziz


Seboleh-bolehnya pelakon dan pengacara popular Rozita Che Wan, 43, enggan melihat anak perempuannya Aaisyah Dhia Rana menurut jejak langkahnya dalam bidang seni.

Kongsi Rozita atau mesra disapa Che Ta, dunia seni yang menjadi periuk nasi dan kehidupannya ini cukup mencabar untuk dihadapi.

Maka memadailah hanya dia dan suami pelakon Zain Saidin, 31, saja yang berkecimpung dalam arena hiburan ini tanpa perlu disusuli anaknya termasuk Aaisyah.

“Saya sudah lalui kepayahan dan cabaran untuk bekerja dalam bidang ini. Ia bukan pekerjaan mudah dan memerlukan individu yang kuat dan matang untuk berjaya.

“Kalau boleh, tak payahlah dia (Aaisyah) mengikut jejak saya apabila dewasa nanti. Kalau pun terbabit, biarlah sebagai personaliti saja dan bukannya selebriti,” katanya.

Rozita meluahkan pandangan itu pada majlis sambutan ulang tahun kelahiran pertama puterinya itu petang kelmarin.

Pada majlis bertemakan Enchanted Garden Party itu, Aaisyah kelihatan begitu comel mengenakan pakaian berwana putih dan memakai mahkota seperti seorang puteri.

Kata Rozita, dia sendiri menceburi bidang seni pada usia matang iaitu 35 tahun bagi memastikan dirinya bersedia segenap aspek.

“Saya berlakon dulu pun sebab hendak cari duit. Apabila sudah ada duit, lebih baik buat benda lain pula. Bidang seni bukannya mudah. Kena pandai jaga diri sebab banyak dugaan.

“Macam Aaisyah, semua benda termasuk kewangan dan masa depannya saya sudah siapkan jadi dia tidak perlu bersusah payah ikut jalan saya untuk cari duit.

“Malah, saya rasa disebabkan pembesarannya yang bergaul dalam bidang ini, mungkin dia tidak mahu ikut kerja yang saya lakukan sekarang,” katanya.

Bercerita mengenai hadiah, Rozita yang memberikan seutas rantai berlian untuk puterinya itu bagaimanapun enggan mengulas lanjut bagi mengelak sebarang salah faham kepada khalayak.

“Cukuplah saya hanya kongsi Aaisyah dapat seutas rantai berlian sempena hari jadinya tapi berapa harga dan butir-butir lain tidak perlulah saya ceritakan.

“Lain-lain itu, insurans dia memang ditaja sebuah syarikat insurans sejak dia lahir. Saya juga ada sediakan skim simpanan untuknya sampai umur 18 tahun nanti.

“Benda untuk anak-anak ini supaya mereka senang nanti. Kalau saya sudah tidak ada, mereka ada duit dan harta sendiri,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Rozita berkata, dia akan menjalani penggambaran drama bersiri 30 episod berjudul Kak Mar pada minggu depan untuk siaran TV3.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 November 2015 @ 7:41 AM