ROSBERG (depan) lonjak kedudukan pelumba di belakang Hamilton.
ROSBERG (depan) lonjak kedudukan pelumba di belakang Hamilton.
AFP

Bandaraya Mexico: Nico Rosberg berjaya mengecap faedah hasil kerja kerasnya semalam apabila mengatasi rakan sepasukan di Mercedes yang juga juara dunia Lewis Hamilton sekali gus mengungguli perlumbaan Grand Prix Mexico.

Dalam aksi Formula Satu pertama di Mexico sejak 23 tahun lalu, pemandu Jerman berusia 30 tahun itu menggunakan kelebihan beraksi di litar yang terletak lebih 2,000 meter dari aras laut untuk melepaskan rasa marahnya dengan memenangi perlumbaan selepas bermula dari petak utama buat kali ke-20 sepanjang kariernya.

Ia kemenangan keempatnya musim ini dan ke-12 sepanjang karier.

“Hari yang hebat, saya berentap dengan Lewis yang memandu cukup baik dan saya sangat gembira dengan kemenangan ini. Saya bangga apabila muncul pemenang di depan kelompok besar penonton yang luar biasa,” kata Rosberg.

Hamilton turut memuji musuh ketat yang juga rakan sepasukannya itu.

“Nico memandu dengan hebat pada perlumbaan ini,” kata pelumba Britain itu.

Hamilton yang bermula di petak kedua, tidak berupaya memberikan saingan secara lebih serius untuk memenangi perlumbaan di depan 140,000 penonton dan menamatkan aksi di belakang rakan sepasukannya itu bagi meneruskan dominasi pasukan.

Bagi Rosberg, kemenangan itu pastinya mengubat kekecewaan, tujuh hari selepas dia melakukan kesilapan pada Grand Prix AS hingga membolehkan Hamilton dimahkotakan selaku juara dunia.

Rosberg menamatkan saingan di Mexico dengan catatan 1.9 saat lebih pantas berbanding Hamilton untuk kemenangan pertama sejak Grand Prix Austria.

Kemenangan itu turut melonjakkan namanya ke tangga kedua kategori pemandu di depan juara empat kali, Sebastian Vettel yang gagal menamatkan aksi manakala rakan sepasukannya di Ferrari Kimi Raikkonen turut menerima nasib sama gara-gara terbabit kemalangan dengan Valtteri Bottas.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 November 2015 @ 8:02 AM