LANDSKAP menarik dan masih mengekalkan kehijauan.
PELAMIN dan dekorasi majlis memudahkan rakaman gambar diambil dalam suasana menarik.
ISMAIL dan Normala berkongsi kemudahan dengan ibu bapa lain.
LANDSKAP taman disediakan memudahkan jurugambar atau juruvideo rakam saat indah ratu dan raja sehari.
Oleh Hajahfarhana Tarmudi


Ibu bapa individu yang paling banyak memikirkan urusan majlis perkahwinan anak mereka bagi memastikan semuanya berjalan lancar. Bermula daripada bab tetamu jem putan, pilihan kad, katering, pelamin hinggakan kelengkapan rumah turut diberi perhatian.

Kadangkala ada ibu bapa yang bimbang dan pening menguruskan majlis anak kesayangan apatah lagi jika ia dilakukan pada saat akhir.

Bukan itu saja, mencari lokasi sesuai untuk mengadakan majlis perkahwinan juga agak sukar terutama jika tinggal di kawasan taman perumahan di bandar besar.

Memahami kesulitan yang ditanggung keba­nyakan ibu bapa dan bakal pengantin, Ismail Sani dan isterinya, Normala Mansor, mengambil inisiatif mewujudkan Laman Nur Kasih Wedding Garden.

“Saya anak sulung daripada 10 beradik dan sudah biasa menguruskan majlis perkahwinan adik. Sepanjang menguruskan majlis perkahwinan adik-beradik, saya lihat banyak perkara yang perlu ditangani untuk memastikan semuanya berjalan lancar.

“Dulu, kita mengamalkan gotong-royong yang memudahkan keluarga pengantin, namun keadaan kini jauh berbeza.

“Pernah ibu saya pengsan kerana menguruskan semua perkara sendiri terutama membabitkan hida­ngan disebabkan terlalu letih,” kata Normala.

Ujarnya, kesibukan ibu bapa sekarang yang mempunyai kerjaya sendiri membuatkan generasi hari ini tidak lagi mengamalkan konsep gotong-royong terutama di bandar besar.

Masing-masing mempunyai komitmen sendiri dan agak sukar untuk berkumpul bersama adik-beradik dan saudara-mara bagi membantu menguruskan majlis perkahwinan.

Disebabkan pengalaman sendiri dan melihat kesulitan ibu bapa menguruskan majlis perkahwinan untuk anak tersayang, timbullah idea membina taman perkahwinan.

“Kebetulan kami mempunyai minat yang sama dalam dunia perniagaan dan memiliki tanah sendiri yang dijadikan kebun serta tempat rehat keluarga.

“Idea untuk membuka taman perkahwinan tercetus pada tahun lalu dan kami sekadar mencuba. Namun, ia menjadi serius sejak awal 2015 selepas menerima maklum balas positif daripada orang ramai terutama sekitar Ampang dan Puchong,” katanya.

Landskap menarik, luas dan selesa

Rimbunan pokok subur dan kehadiran kolam ikan yang terjaga rapi, sangat sesuai bagi bakal pengantin yang mendambakan majlis berkonsepkan taman.

Menariknya, landskap taman yang disediakan juga sudah cukup membuatkan tugasan jurugambar atau juruvideo menjadi lebih mudah bagi merakamkan saat indah ratu dan raja sehari.

Dilengkapi dengan chalet (dua bilik besar) untuk kegunaan keluarga pengantin, ia lebih selesa dan mudah untuk ibu bapa memastikan urusan majlis berjalan lancar.

Keperluan tetamu juga tidak dilupakan khususnya tandas dan surau. Jadi, bolehlah tetamu yang datang dari jauh menunaikan solat sebelum bergerak pulang.

Jauh daripada hiruk-pikuk kota, kawasan yang bertempat di Jalan Felcra Semungkis, Batu 14, Hulu Langat dan berkeluasan tiga hektar itu turut me­nyediakan tempat letak kereta yang boleh memuatkan sehingga 150 kereta pada satu-satu masa.

“Justeru, jika majlis perkahwinan diadakan di sini, tiada lagi keluhan jiran tetangga atau pengguna jalan raya lain. Malah ia lebih privasi tanpa mengganggu jiran atau terpaksa menutup laluan tertentu. Malah dengan pakej ditawarkan, ibu bapa tidak perlu bimbang memikirkan mengenai persiapan majlis.

“Ibu bapa hanya perlu membuat tempahan seawal enam bulan dari tarikh majlis yang ditetapkan dan urusan jemputan saja kerana pakej yang disediakan di sini sudah lengkap,” kata­nya.

Pemiliknya memberi fokus terhadap konsep pakej yang jimat dengan meletakkan harga tidak terlalu mahal bagi mengelakkan pembaziran.

Pakej dengan harga RM19.80 setiap seorang untuk tetamu minimum 1,000 orang. Pakej ini termasuk katering, kanopi, pelamin, makan beradab, sistem PA, bilik pengantin dan ruang inap keluarga, pastinya bukanlah sesuatu yang mahal.

Di samping memudahkan pelanggan, harga yang ditetapkan juga menepati kos perbelanjaan yang diinginkan kebanyakan bakal pengantin dan ibu bapa.

Bagi memastikan perjalanan majlis bertambah lancar, Ismail turut me­nyiapkan pakej bersama kehadiran khidmat bantuan ang­gota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).

Lokasinya juga mudah dituju, mengambil masa kurang daripada 30 minit dari kawasan Ampang, Bandar Tun Hussein Onn dan Bandar Tun Razak.

Bagi mengetahui lebih lanjut mengenai taman perkahwinan yang menarik ini, boleh layari lamannurkasih (Instagram) atau Laman Nur Kasih (Facebook).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 November 2015 @ 1:25 PM