Sungai Petani: Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) menggesa kerajaan segera mengharamkan rokok elektronik atau vape sebelum ia menjadi 'barah' dalam masyarakat.

Presiden MAPIM, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata rokok elektronik itu tidak dikawal sebarang peraturan atau undang-undang menyebabkan tiada halangan jika ada kanak-kanak bawah umur menggunakannya.

"Kami mendesak kerajaan tidak menunda keputusan mengharamkan penggunaan rokok elektronik sebelum terlambat, walaupun kesannya belum jelas namun lebih baik ia dilarang daripada dijual dan digunakan masyarakat negara ini.

"Kami juga menyokong fatwa yang dikeluarkan Mufti Wilayah Persekutuan yang berpendirian rokok elektronik haram, sama seperti fatwa Majlis Fatwa Kebangsaan yang mengharamkan rokok pada 1995," katanya pada sidang media di Pejabat Mapim di sini, hari ini.

Mohd Azmi berkata, rokok elektronik atau Vape ini dilihat sebagai produk komersial yang bukan bertujuan merawat ketagihan rokok konvensional sebaliknya mengalih ketagihan itu kepada produk baharu yang seiras dengannya.

Menurutnya, fakta mengatakan rokok elektronik lebih selamat dan sebagai alternatif kepada rokok sedia ada, boleh dipersoalkan memandangkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) tidak menganggap ia sebagai terapi sah untuk perokok berhenti merokok.

"Difahamkan ada 466 jenama Vape dengan lebih 7,764 perisa di pasaran, tidak termasuk perisa baru yang muncul. Harga Vape antara RM159 sehingga RM245

manakala perisanya sekitar RM33," katanya.

Mohd Azmi berkata, China sebagai pelopor dalam pembuatan rokok elektronik itu tidak bersetuju dengan penggunaannya malah negara termasuk Singapura,

Brazil, Kemboja, Mexico, Nicaragua, Panama, Qatar, Seychelles dan Turki mengharamkannya atas faktor kesihatan.

"Dikatakan bahawa rokok elektronik ini mengandungi sejenis nikotin bervariasi iaitu nikotin pelarut, propilen glikol, dietilen glikol dan gliserin yang apabila dipanaskan menghasilkan nitrosamine, sejenis larutan penyebab kanser,” katanya. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 November 2015 @ 4:21 PM