Cecair perisa untuk vape yang banyak dijual di seluruh negara. - Foto NSTP (Fail).

Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan akan menjalankan kempen di seluruh negara bagi membanteras penjualan cecair nikotin tanpa lesen yang digunakan untuk rokok elektronik (e-rokok).

Menterinya Datuk Seri Dr S Subramaniam berkata jika didapati tidak memiliki lesen menjualnya, e-rokok yang mengandungi cecair itu akan dirampas.

"Ia (pembanterasan) adalah proses berterusan mengikut undang-undang. Kami akan gunakan Akta Racun 1952 dan Akta Makanan 1983," katanya pada sidang media mengenai Kempen Makan Secara Sihat bersempena Hari Deepavali di sini, hari ini.

Beliau yang enggan mengulas lanjut berkata: "Kami akan adakan sidang media lain mengenai perkara ini kemudian".

Mengikut Akta Racun, nikotin diletakkan sebagai racun kategori C yang hanya boleh dijual atau dibekal sebagai ubat atau bahan dalam ubat oleh pengamal perubatan berdaftar.

Nikotin dalam tembakau dikecualikan daripada Akta itu kerana kawalan tembakau mengikut Akta Makanan.

Dr Subramaniam menasihatkan orang ramai supaya tidak menggunakan e-rokok dengan menegaskan ia berbahaya kepada kesihatan.

E-rokok, vapor (vape) atau nikotin elektronik menggunakan alat dan cecair pelbagai perisa menggunakan kuasa bateri dan mengeluarkan asap sama seperti merokok tetapi tanpa tembakau. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 November 2015 @ 5:46 PM