Baitulmaqdis: Tentera Israel semalam menyerbu sebuah stesen radio di Tebing Barat dan merampas kelengkapan yang rejim itu dakwa digunakan untuk menyiarkan kempen menyerang Yahudi.
Tentera berkata, ia menutup stesen radio Al Hurria di Hebron dan menuduh stesen itu menghasut keganasan di Tebing Barat.
Keganasan yang meletus sejak pertengahan September lalu berpunca daripada tindakan Israel untuk membenarkan penganut Yahudi melakukan aktiviti keagamaan di perkarangan Masjid Al-Aqsa dan kekecewaan penduduk Palestin selepas dijajah hampir setengah abad.
Enam puluh sembilan penduduk Palestin ditembak mati oleh polis dan askar Israel, termasuk 43 yang didakwa rejim itu terbabit dalam serangan atau cubaan menyerang.
Pengarah stesen radio itu Ayman Qawasmeh berkata, tentera Israel menyerbu stesen berkenaan jam 2 pagi (waktu tempatan) dan memusnah serta merampas kelengkapan penyiaran.
“Kami tidak pernah menghasut orang ramai. Yang kami lakukan hanyalah melaporkan jenayah dan keganasan Israel terhadap penduduk Palestin. Mereka mahu menutup suara kami, suara Palestin,” kata Ayman. - Reuters