GAMBAR fail menunjukkan Sonia ketika dirawat di hospital sejurus selepas bekas kekasihnya membakarnya.

Multan: Seorang wanita muda meninggal dunia semalam selepas dibakar seorang lelaki kerana menolak lamarannya.

Sonia Bibi, 20, dimasukkan ke hospital bulan lalu dan memberitahu polis bekas kekasih membakarnya selepas menyimbahnya dengan petrol kerana dia menolak lamarannya.

Petugas perubatan sebelum ini berkata, Sonia akan pulih.

Bagaimanapun, seorang doktor di Hospital Nishtar di Multan memberitahu wartawan, kecederaan yang dialami wanita itu dijangkiti kuman dan dan dia meninggal dunia pagi semalam.

Doktor Naheed Chaudhry berkata, kira-kira 45 hingga 50 peratus tubuh mangsa melecur dalam kejadian di sebuah kampung terpencil di daerah Multan, Punjab.

Suspek berusia 24 tahun ditahan polis sebaik laporan mengenainya diterima.

Dalam keterangannya kepada polis, Sonia berkata, dia tidak lagi mencintai lelaki berkenaan dan siasatan awal menunjukkan bekas kekasihnya membakarnya kerana dia menolak lamarannya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 November 2015 @ 6:52 AM