SHUHADA MANSOR kongsi ‘port’ lepak pilihan Gen Y dengan pilihan berbeza. Bukan untuk menggalakkan kita menghabiskan masa melepak, tetapi ingin berkongsi kenapa remaja suka menghabiskan masa di situ.

Kita sering dianggap sebagai generasi paling banyak menghabiskan masa di luar berbanding di rumah. Tidak dinafikan, budaya ini memang tepat untuk menggambarkan sikap kita sama ada remaja yang tinggal di kota atau luar bandar.

Perkara yang menjadi kebimbangan kepada ibu bapa, kerisauan mereka mengenai kehidupan sosial dan rutin harian kita ada kalanya terdedah kepada budaya negatif atau salah pilih kawan. Justeru, ia akan menjurus kepada perkara negatif yang akhirnya merosakkan usia remaja.

Penulis bertanya pendapat beberapa Gen Y apabila disoal mengenai budaya melepak dengan lokasi berlainan. Tidak semestinya membuang masa, ada yang berborak mencari idea atau menceritakan sesuatu isu semasa.

Restoran mamak

Bukan hanya orang dewasa, restoran mamak menjadi pilihan semua termasuk membawa keluarga. Namun, istilah melepak dengan menghabiskan masa lebih sejam di sini kebanyakannya dimonopoli remaja.

Lihat saja mana-mana restoran mamak, pasti akan dibanjiri golongan muda apatah lagi jika ada perlawanan bola sepak secara langsung ditayangkan. Kelebihannya yang dibuka 24 jam memberi kebebasan kepada pelanggan untuk duduk santai di situ sambil bersembang.

Bagi Mohd Asyraf Saifullah, 24, restoran mamak menyediakan pelbagai pilihan makanan dan minuman. Dengan kemudahan WiFi menjadi tarikan remaja untuk ke situ.

“Ada kalanya, saya datang bersama rakan ke restoran mamak untuk melepak sambil buat kerja kuliah. Mereka tak kisah jika kita habiskan masa berjam-jam dan itu antara sebab utama. Lagi pula, ‘study group’ saya terdiri daripada lelaki dan perempuan, jadi kami memilih restoran 24 jam untuk berbincang.

“Rakan saya sukakan masakan di restoran mamak. Jadi, kalau nak lepak selepas habis kuliah, kami akan ke situ. Bukan saja masakan Melayu, mamak atau Thai, tapi mereka juga ada tawarkan makanan Barat. Mungkin sebab itu buatkan pelanggan tetap datang kerana tak rasa terhad dengan pilihan untuk jamu selera,” katanya.

Kafe ‘hipster’

Kafe dengan konsep berbeza makin banyak dibuka kini. Kebanyakannya mengetengahkan ciri dalaman berkonsep Inggeris untuk memberi suasana berbeza daripada konsep kedai kopi lama masyarakat dulu. Suasana santai dengan alunan melodi merdu untuk halwa telinga membuatkan kafe urban ini menjadi pilihan Gen Y terutama yang tinggal di bandar raya.

Menurut Tengku Alisha Tengku Kadir, 21, kewujudan kafe baru ini digelar ‘kafe hispter’ bagi dia dan rakannya.

“Hipster adalah cabang fesyen yang menjadi kegilaan anak muda, jadi kami labelkan begitu kerana banyak remaja yang mengenakan gaya hipster suka melepak di kafe terbabit.

“Boleh dikatakan kebanyakan kafe ini menawarkan makanan ringan. Contohnya kopi dan jamuan pencuci mulut seperti kek dan sebagainya. Ada juga yang menjual makanan utama seperti spageti, namun apa yang saya nampak, menu ala Barat lebih banyak ditawarkan.

“Kalau ditanya kenapa saya suka ke kafe ini, antara faktor utama adalah dekorasi dalamannya. Dekorasi ‘simple’ tak perlu sarat dengan banyak meja buatkan kita rasa lebih santai dan selesa. Kalau kita melancong ke Eropah contohnya, ada banyak kafe sebegini, jadi apabila dah banyak dibuka di negara sendiri, ia beri kita peluang untuk cuba sendiri,” katanya.

Kafe siber

Bagi yang gilakan Internet, kafe siber adalah tempat wajib dikunjungi seharian. Bukan kerana tidak cukup data Internet di telefon sendiri, tetapi lebih kepada bergembira bersama rakan.

Bagi Amzar Shah Shukri, 20, dia menghabiskan masa di kafe siber cuma untuk bermain permainan video bersama rakan lain.

“Banyak orang akan pandang negatif kalau kita masuk kafe siber, tapi bagi saya itu persepsi masyarakat. Saya dan rakan banyak habiskan masa di kafe siber sebab kami ‘berperang’ dalam permainan video dalam talian.

“Counter Strike antara video game yang paling kami suka. Untuk ‘bertarung’, setiap seorang perlu ada komputer dan talian Internet. Oleh itu, kita boleh wujudkan kumpulan atau berlawan secara individu. Untuk masuk ke kafe siber ada bayaran, kami taklah pergi ke sana setiap hari. Mungkin sekali dalam seminggu,” katanya.

Banyak lagi ‘port’ melepak yang disukai remaja. Bagi yang sukakan aktiviti ekstrem, mungkin banyak masa dihabiskan dengan memanjat gunung, bagi yang sukakan suasana alam, berpiknik di padang antara dilakukan. Bagi yang sukakan keriuhan, pusat beli-belah antara tempat utama dengan pelbagai aktiviti sama ada menonton wayang, santai minum kopi atau bermain game. Meskipun apa lokasi pilihan, jangan terlalu leka hingga membazir masa muda.

Kenapa melepak ?

Setiap orang mempunyai tujuan berbeza untuk kita menghabiskan masa di luar. Ada kajian dijalankan pakar mengenai sikap remaja yang suka menghabiskan masa di rumah. Antara sebab utama menjelaskan bahawa kita tidak suka duduk di rumah kerana bosan dengan suasana sunyi atau malas mendengar leteran ibu bapa.

Ada pula berpendapat, rumah itu ibarat hotel yang hanya tempat untuk menukar pakaian atau tidur semata-mata. Namun, majoriti responden menyatakan sebab mereka melepak adalah kerana tidak mempunyai kawan untuk bersembang.

Jika ditanya pasti jawapannya ada kaitan dengan kajian ini. Penulis faham kita memerlukan masa sendiri dan lebih menarik jika dihabiskan bersama teman, tetapi apa salahnya seimbangkan masa bersama keluarga dan jangan terlalu ‘kedekut’ untuk membawa mereka ke ‘port’ lepak anda. Tidak ada salahnya kita berkongsi rasa dengan orang yang lebih rapat iaitu keluarga.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 November 2015 @ 7:35 AM