PEMAIN East Coast Surfers, Kamal Alfiza (kiri) membuat libasan sambil pemain Green Titans, Shelpul Saad cuba membuat halangan.

Kuala Lumpur: Pemburuan slot separuh akhir Liga SepakTakraw Malaysia 2015 (STL 2015) memasuki fasa menarik selepas berakhirnya saingan minggu ketiga hujung minggu lalu.

Paling mencuri tumpuan, Gomo Warriors yang bangkit dari kekalahan untuk mencatat kemenangan pertama di STL 2015 dengan menyentap rekod gah Kuala Lumpur City Flyers 2-1.

Gomo Warriors yang tewas kesemua tiga perlawanan terdahulu termasuk kekalahan terbaru kepada East Coast Surfers pada Sabtu, turun ke gelanggang dengan menyedari satu lagi kekalahan pasti menutup peluang merebut slot di separuh akhir.

Berdepan City Flyers yang cemerlang menang kesemua tiga perlawanan, misi mereka tampak semakin berliku namun pasukan dari Kelantan itu bangkit bergaya mencatat kemenangan getir yang sekali gus menyaksikan mereka kini mempunyai peluang seimbang untuk mengintai kedudukan empat teratas.

Selepas regu pertama mereka gandingan Hisham Mat, Malek Faqimi Idris dan Aiman Fouzi tewas 21-10, 15-21, 14-21, regu kedua diterajui apit kiri kebangsaan, Farhan Adam, Idham Sulaiman dan Afifudin Razali menghidupkan semula sisa perjuangan Gomo Warriors menerusi kemenangan 16-21, 21-18, 22-20 dalam aksi sengit mendebarkan yang berlangsung selama 75 minit.

Tanpa kelibat tekong terbaik STL 2014, Normanizam Ahmad, regu ketiga Khairul Hisyam, Aidil Azman Azwawi dan Wan Naim Azmi tetap berganding cemerlang untuk mengesahkan mata kemenangan Gomo Warriors menerusi kemenangan 21-15, 18-21, 21-14 ke atas Muqlis Borhan, Farid Aziz dan Hafiz Rahman.

Sementara itu, Southern Tigris turut menghidupkan semula harapan mencari tiket beraksi di separuh akhir, mencatat kemenangan kedua setelah cemerlang menundukkan Northern Rangers 3-0.

Tewas mudah 0-3 kepada Angkatan Tentera pada Sabtu, Southern Tigris tampil lebih yakin hari ini – regu pertama mereka dibarisi Haidzir Rashid, Shamsulhairi Saidi dan Norhafizi Abdul menang 21-16, 21-19 dalam masa 46 minit.

Trio kebangsaan, Hairul Hazizi Haidzir, Azmi Kadir dan Zamree Dahan mengesahkan mata kemenangan setelah menang 21-12, 19-21, 21-15 ke atas Kamal Aizat, Nazirul Akmal dan Zul Effendi Sumari sebelum regu Aziz Amin, Sofian Rahim dan Noor Rizal Jaafar mengesahkan kemenangan mutlak 3-0 juga selepas bertarung tiga set.

Dalam perlawanan terakhir, East Coast Surfers mengalahkan Green Titans 2-1.

Selepas tamat empat perlawanan bagi kesemua pasukan, Black Panthers mengungguli kedudukan kumpulan dengan lapan mata diikuti ATM dan City Flyers masing-masing dengan enam. Aksi STL 2015 akan berehat dua minggu sebelum bersambung 14 November ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 November 2015 @ 7:59 AM