PEMAIN Kelantan menjalani latihan di Stadium Sultan Muhammad IV.
Oleh Azlan Hafeedz

Kota Bharu: Kelantan memerlukan ‘magis’ bagi membenam T-Team dalam saingan kempen Piala Malaysia di Stadium Sultan Muhammad IV, malam ini.

Walaupun atas kertas misi itu tampak sukar, pemangku ketua jurulatih Kelantan Zahasmi Ismail tetap beranggapan mereka mampu menang perlawanan itu, sekali gus menempah tiket suku akhir.

Laluan The Red Warriors (TRW) diakui penuh getir kerana T-Team bukan calang-calang pasukan untuk ditewaskan berikutan skuad kendalian Tomislav Steinbruckner itu kini berada pada prestasi terbaik.

Kelantan juga tidak pernah menang ke atas The Titans musim ini, termasuk pusingan pertama Piala Malaysia dan hakikat itu cukup jelas buat TRW, mereka perlukan ‘keajaiban’ untuk menang.

Zahasmi berkata, walaupun prestasi Kelantan kurang memberangsangkan, beliau bersama pembantu, Mohd Sidiq Shamsuddin sudah melakukan ‘post mortem’ sepanjang tempoh rehat bagi mengenal pasti kelemahan pasukan.

Katanya, bagi memantapkan barisan jentera termasuk melakukan penyudahan gol, beberapa strategi dirancang dengan pemain tertentu diberi tanggungjawab menggalas tugas tertentu.

“Mungkin itu strategi terbaik kerana lawan terlalu kebal untuk ditembusi dan sekiranya perancangan ini menjadi, tentu tiga mata penuh milik kita.

“Justeru, saya optimis Kelantan tidak akan menjadi pasukan tadika. Saya percaya kami bakal menyajikan aksi terbaik di gelanggang sendiri,” katanya.

Zahasmi berkata, beliau bersyukur kerana semua pemain utama termasuk import seperti Austin Amutu, Ahmad Fakri Saarani, Erwin Carillo dan Nor Hafiz Zamani Misbah cergas sepenuhnya dan bersedia untuk diturunkan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 November 2015 @ 8:11 AM