MULAKAN pemberian makanan secara perlahan-lahan dengan makanan lembut.
Oleh Siti Nadirah Hafidzin
siti_nadirah@hmetro.com.my

Kelahiran seorang bayi sehingga menjangkau ke usia dua tahun ternyata satu tempoh yang kritikal bagi menggalakkan pertumbuhan optimum, kesihatan dan perkembangan tingkah laku.

Ia puncak usia apabila kebantutan tumbesaran, kekurangan nutrien dan penyakit lazim seperti cirit-birit mudah berlaku.

Untuk pertumbuhan dan tumbesaran yang optimum bagi bayi dan kanak-kanak di Malaysia, semua bayi perlu disusukan dengan susu ibu saja bermula daripada detik kelahiran sehing­ga berusia enam bulan.

Makanan pelengkap harus diperkenalkan pada usia enam bulan sementara pe­nyusuan susu ibu diteruskan sehingga anak berusia dua tahun.

Pemberian makanan kepada bayi seharusnya tepat pada masa, mencukupi, selamat dan sesuai untuk dimakan.

Makanan pejal tidak boleh diberikan sebelum bayi berusia enam bulan kerana:

Bayi belum dapat mengunyah dan menggigit dengan berkesan.

Makanan yang paling seimbang dan lengkap adalah susu badan.

Meningkatkan risiko alahan makanan dan jangkitan kuman.

Usus belum matang dan terdapat risiko kecederaan atau usus tersumbat.

Buah pinggang belum cukup matang untuk mengendalikan beban berlebihan dengan makanan pejal.

Namun, selepas berusia enam bulan, bayi memerlukan makanan pejal kerana susu badan saja tidak mencukupi untuk keperluan badan.

Bayi yang tidak diberi makanan pejal selepas enam bulan akan mengalami kekurangan zat makanan terutama zat besi dan ia menjejaskan pertumbuhan dan perkembangan minda bayi.

Apabila bayi berusia enam bulan, makanan pejal harus dimulakan dan ditingkatkan secara perlahan-lahan. Dalam beberapa minggu, makanan dengan rasa, tekstur, warna dan suhu yang berlainan boleh diperkenalkan.

Apabila bayi mengambil lebih banyak makanan pejal, pengambilan susu juga akan berkurangan. Pada tahap ini, bayi perlu diberi sedikit ikan, ayam atau sumber protein lain untuk menggantikan protein dalam susu.

Apa yang penting, ibu bapa dan penjaga perlu memastikan tiada tulang dalam makanan bayi.

Pada usia enam hingga sembilan bulan, makanan lebih berketul boleh dimulakan dan apabila bayi sudah boleh duduk, berikan makanan yang boleh dipegang sendiri seperti biskut atau buah-buahan yang dipotong kecil seperti tembikai dan pisang.

Seboleh-bolehnya, bayi perlu beransur-ansur diberi makanan yang biasa dimakan oleh keluarga supaya bayi dapat membiasakan diri dengan tekstur dan rasa makanan keluarga. Apabila bayi menghampiri usia

satu tahun, bayi boleh makan bersama-sama keluarga.

Makanan seperti ayam, ikan, sayur dan nasi boleh diberikan secara perlahan-lahan dan tidak terlalu keras. Makanan boleh dikisar atau dipotong kecil dan elakkan makanan kecil yang keras seperti kacang ‘pea’ yang mungkin boleh tersumbat dalam salur pernafasan bayi.

Elakkan juga makanan yang terlalu pedas serta garam dan gula berlebihan dan ketika tempoh itu, bayi boleh cuba makan sendiri menggunakan sudu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 November 2015 @ 9:03 AM