Antara kenderaan curi yang ditemui oleh JSJ IPD Melaka Tengah. FOTO Mohd Hilmie Hussin
Oleh Mohd Hilmie Hussin

Melaka: Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah, di sini, percaya dapat menyelesaikan kes curi kenderaan di negeri ini sejak 2012, dengan tertangkapnya enam lelaki dan seorang wanita daripada Geng Kailo.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Shaikh Abdul Adziz Shaikh Abdullah berkata, menerusi tangkapan itu, pihaknya merampas lima kereta yang sudah diubahsuai selain mengesan beberapa lagi kereta yang dipercayai dijual kepada individu lain.

Katanya, tujuh suspek berusia 15 hingga 67 tahun itu ditahan dalam beberapa serbuan pada 20 Oktober lalu.

"Kita masih menjalankan siasatan dan mendapat petunjuk yang baik untuk mengesan banyak lagi kereta curi yang dijual serta saki baki ahli kumpulan Geng Kailo ini," katanya ketika ditemui di IPD Melaka Tengah, di sini, petang tadi.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana kesalahan mencuri kenderaan motor.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 November 2015 @ 3:03 PM