Puluhan ribu pelancong terkandas berikutan penutupan lapangan terbang di Bali. - Foto AFP
Puluhan ribu pelancong terkandas berikutan penutupan lapangan terbang di Bali. - Foto AFP
Gunung berapi Rinjani di Lombok meletuskan debu dan asap sejak hujung minggu lalu. - Foto Reuters
Gunung berapi Rinjani di Lombok meletuskan debu dan asap sejak hujung minggu lalu. - Foto Reuters

Jakarta: Lapangan terbang di Bali, termasuk Lapangan Terbang Antarabangsa Ngurah Rai ditutup sepenuhnya menyebabkan 692 penerbangan ditangguhkan berikutan letusan gunung berapi Rinjani sejak beberapa hari lalu.

Pembatalan penerbangan akibat letusan Gunung Rinjani yang terletak di Lombok berhampiran Bali yang melepaskan debu dan asap sejak hujung minggu lalu, menyebabkan puluhan ribu pelancong terkandas.

Menurut jurucakap agensi bencana Indonesia, Purwo Nugroho, selain lapangan terbang Ngurah Rai yang terletak 135 kilometer dari Lombok, turut ditutup Lapangan Terbang Selaparang di Mataram iaitu bandar utama wilayah Nusatenggara Barat di Pulau Lombok.

Lapangan Terbang Blimbingsari di Banyuwangi di hujung Pulau Jawa juga ditutup sepenuhnya sehingga esok dan hanya kembali dibuka apabila keadaan selamat untuk penerbangan.

Ladang dan pokok di sekitar gunung setinggi 3,726 meter itu dipenuhi debu tetapi bandar serta kampung berhampiran tidak berada dalam bahaya. - AP

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 November 2015 @ 4:23 PM