Rancang perjalanan bagi elak kesesakan berpanjangan. - Foto NSTP (Fail)
Rancang perjalanan bagi elak kesesakan berpanjangan. - Foto NSTP (Fail)

Kuala Lumpur: Plus Malaysia Berhad (PLUS) mengeluarkan jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) sebagai panduan orang ramai merancang perjalanan bagi musim cuti sempena perayaan Deepavali mulai Jumaat ini, bagi mengelak kesesakan di lebuh raya.

Ketua Pegawai Operasi PLUS, Mohammad Fuad Khusairi berkata jadual TTA itu meliputi perjalanan antara Lembah Klang dan beberapa bandar besar di seluruh negara.

Bagi sambutan Deepavali pada 10 November ini, PLUS menjangka 1.4 juta kenderaan menggunakan Lebuhraya Utara-Selatan pada waktu puncak hujung minggu ini, katanya.

"Jumlah ini peningkatan lapan peratus berbanding 1.3 juta kenderaan sehari pada hari biasa," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata jadual TTA yang dikeluarkan PLUS pada cuti musim perayaan dan hari puncak berjaya membantu mengurangkan kesesakan di lebuh raya.

Mohammad Fuad menasihatkan pengguna lebuh raya mematuhi jadual itu bagi mengelak dari terperangkap dalam kesesakan di laluan utama, kawasan rehat dan

plaza tol.

Mereka boleh mendapatkan maklumat dengan menghubungi talian bebas tol PLUSLine 1800 88 0000, laman Twitter PLUSTrafik, atau memuat turun aplikasi 'PLUS Mobile'. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 November 2015 @ 7:08 PM