Joseph (tengah) pada perlawanan menentang Perak di Kuching bulan lalu. - Pix fail NSTP
Joseph (tengah) pada perlawanan menentang Perak di Kuching bulan lalu. - Pix fail NSTP

Kuala Lumpur: Pemain Sarawak, Joseph Kalang Tie dan pemain Perak, Mohd Nor Hakim Isa, masing-masing digantung lima perlawanan kerana menyerang satu sama lain dalam aksi Piala Malaysia di Stadium Negeri, Kuching pada 17 Oktober lalu.

Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) turut mengenakan denda RM1,500 kepada kedua-dua pemain itu dan diberi amaran keras hukuman lebih berat akan dikenakan jika mengulangi kesalahan sama.

Mereka didapati bersalah kerana melanggar Artikel 50.1(d) Kod Tatatertib FAM 2015 berkenaan 'Menyerang pihak lawan atau individu selain daripada pegawai perlawanan' dan Artikel 18 para 4 Kod Tatatertib FAM 2015 berkenaan 'Perintah keluar padang'.

Berikutan itu, Joseph bakal terlepas aksi Sarawak menentang Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi malam ini diikuti pertemuan dengan Johor Darul Ta’zim (JDT) pada 21 November.

Baki dua lagi penggantungan dibawa ke perlawanan rasmi pertama dan kedua seterusnya bagi Joseph iaitu dua perlawanan suku akhir sekiranya Sarawak layak sebagai wakil Kumpulan B.

Pemain tengah Sarawak itu sebelum ini menjalani penggantungan automatik ketika menentang JDT di Stadium Negeri pada 24 Oktober lalu.

Sarawak kini menduduki tangga kedua Kumpulan B selepas mengumpul enam mata untuk berada di belakang JDT.

Sementara itu, Mohd Nor Hakim pula terlepas perlawanan menentang ATM pada 21 November di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi dan baki tiga lagi penggantungan akan dibawa ke perlawanan rasmi pertama, kedua dan ketiga selepas itu.

Mohd Nor Hakim akan menjalani penggantungan automatik ketika Perak bertemu JDT di Stadium Perak, Ipoh esok.

Perak kini menduduki tangga tercorot Kumpulan B selepas mengutip tiga mata.

Dalam pada itu, seorang pegawai pasukan Sarawak, Mohd Hysham Adenan turut dikenakan tindakan sama selepas menyerang pemain Perak pada perlawanan tersebut.

Mesyuarat jawatankuasa itu juga turut mengenakan denda RM17,500 ke atas Persatuan Bola Sepak Terengganu ekoran tindakan penyokong mereka membakar suar, mercun dan kerusi stadium ketika perlawanan menentang JDT II di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin pada 12 September.

Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang turut didenda RM30,000 kerana tindakan penyokongnya membaling batu selepas perlawanan antara Pulau Pinang dan Selangor PKNS di Stadium Bandaraya Pulau Pinang pada 12 Sept lepas.

Kedua-dua persatuan bola sepak negeri itu didapati bersalah kerana melanggar Artikel 70 para 1 Kod Tatatertib FAM 2015 berkenaan 'Tanggungjawab bagi kelakuan penonton'. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 November 2015 @ 8:22 PM