DARI atas, Tomok, Syuk, Tauke Jambu, Sherry, Achey Bocey, Ajak Shiro, Mark Adam dan Misha Omar.
Oleh Nor Akmar Samudin


Kegilaan ramai terhadap aktiviti parodi di laman sosial memberi idea kepada Astro menerbitkan program baru iaitu Juara Parodi yang mula bersiaran

di Astro Warna (saluran 132) dan Mustika HD (saluran 134) jam 10 malam, setiap Jumaat bermula esok.

Juara Parodi ialah rancangan realiti komedi muzik yang menggabungkan penyanyi dan pelawak popular seperti Awie, Misha Omar, Mark Adam, Tomok, Black, Sam Bunkface, Mawi,

Firman, Zahid, W.A.R.I.S., Ajak Shiro, Shahrol Shiro, Shuib Sepahtu, Rahim, Joey, Shuk, Zulin Aziz, Sherry, Azlee, Lan Pet Pet, Pak Yus, Tauke Jambu, Achey Bocey, Abam Bocey dan Fad Bocey.

Gabungan itu akan menyaksikan peserta akan melaksanakan aksi parodi di atas pentas utama apabila tiga elemen penting akan diserapkan sebagai format utama rancangan.

Peserta perlu melakar lirik kreatif secara bersahaja dengan berlatarkan lagu asal yang ditukar genre muziknya.

Ia akan dipersembahkan secara langsung menerusi tema istimewa yang diberikan setiap minggu.

Apa yang menarik, format ini menjadikan Juara Parodi satu-satunya program televisyen yang menyiarkan pertandingan seumpamanya.

Ia akan dihoskan pengacara terkenal Najip Ali dan penyanyi serta penyampai Era FM, Dina Nadzir manakala tugas juri digalas Afdlin Shauki dan Zainal Abidin.

Juara bakal membawa pulang wang tunai RM300,000 berserta trofi dan peserta akhir akan membawa pulang wang tunai RM200,000 berserta trofi untuk setiap kumpulan.

Pemenang kategori Persembahan Terbaik, Vokal Terbaik dan Lirik Terbaik pula bakal membawa pulang RM10,000 untuk setiap kumpulan.

Pemenang bagi kategori ini akan ditentukan oleh juri profesional sebanyak 100 peratus.

Dalam pada itu, stesen rado Era FM sebagai Geng Radio Parodi, manakala Raku pula bertindak sebagai Radio Digital Parodi.

Selain itu, ia turut disokong Astro Gempak selaku portal hiburan rasmi.

Maklumat lanjut mengenai Juara Parodi, sila layari laman web juaraparodi.com.my.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 November 2015 @ 8:05 AM