REAKSI kecewa pemain Kelantan selepas tamat perlawanan menentang T-Team.
REAKSI kecewa pemain Kelantan selepas tamat perlawanan menentang T-Team.
Oleh Azlan Hafeedz

Kota Bharu: ‘Sayonara Piala Malaysia!’ Peluang Kelantan untuk layak ke suku akhir tertutup walaupun menang bergaya 3-1 ke atas T-Team pada aksi Piala Malaysia di Stadium Sultan Muhammad IV, malam tadi.

Hasrat Kelantan terbantut selepas pencabar terdekatnya, FELDA United FC menundukkan pendahulu Kumpulan C, Selangor 3-2 sekali gus pasukan berstatus kelab itu mengiringi Red Giants ke suku akhir.

Kegagalan itu juga menamatkan hasrat pasukan gergasi Pantai Timur itu untuk mengulangi era kegemilangan 2010 dan 2012.

Sebelum itu, skuad kendalian Zahasmi Ismail berjaya memperolehi gol pertama melalui import berbisa mereka Iwuji Agustine Amutu pada minit ke-35.

Import Red Warriors berasal dari Nigeria itu tenang menjaringkan gol sebaik mendapat umpanan Wan Zack Haikal Wan Nor untuk menewaskan penjaga gol T-Team, Wan Azraie.

Tersentak dengan gol pertama itu, jentera serangan T-Team diketuai Tomislav Busic cuba mengatur strategi bagi memecah benteng pertahanan Kelantan namun berjaya dipatahkan pemain tinggi lampai Amiridzwan Taj.

Pelawat terus tersentak apabila seorang lagi import Kelantan, Gilmar Filho berjaya menjaringkan gol kedua pada minit ke-40 sebaik mendapat lorongan Wan Zack Haikal sebelum Amutu bijak menggelecek dua pertahanan T-Team bagi menambah gol ketiga pada minit ke-56.

Usaha gigih T-Team berhasil juga apabila pasukan itu dianugerahkan sepakan penalti selepas Arif Fazilah dikasari pertahanan Kelantan, Farisham Ismail dalam kotak penalti.

Pengadil Suhaizi Sukri tidak teragak-agak untuk menghadiahkan sepakan penalti kepada T-Team yang disempurnakan Busic pada minit ke-64.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 November 2015 @ 9:15 AM