TAWARAN berlakon bukti bakat Jue masih jadi keutamaan penerbit dan pengarah.
Oleh Sudirman Mohd Tahir

Bercakap soal populariti, pelakon, Jue Aziz, 32, mengakui sedikit ketinggalan apatah lagi dengan kehadiran ramai pelakon baru dan muda.

Namun pelakon drama Manjalara ini masih boleh berbangga apabila memiliki bakat lakonan yang tidak perlu dipertikaikan lagi.

Malah kata Jue atau nama sebenarnya Zuliana Abdul Aziz, dia lebih mementingkan kualiti persembahan daripada sekadar mengejar populariti.

“Hari ini memang ramai pelakon baru, tetapi nak mencari yang berkualiti susah. Bukan tak ada, namun kebanyakannya lebih teruja mengejar glamor dan populariti.

“Bagi saya, bukan mudah mengekalkan kualiti. Saya dulu berusaha dari bawah dan belajar memperbaiki lakonan. Dari situ baru kita tahu sejauh mana kemampuan sebenar kita,” katanya.

Menurut Jue lagi, perkembangan laman sosial seperti Instagram menjadikan pendatang baru lebih cepat dikenali.

“Zaman mula berlakon dulu, laman sosial belum popular. Jadi fokus lebih kepada kerjaya masing-masing.

“Namun hari ini senario sudah berubah. Tak salah kalau saya cakap, ramai meraih populariti disebabkan perkara itu,” katanya.

Sambung Jue, dia menjaga kualiti lakonan agar dapat bertahan lama dalam industri hiburan tanah air.

“Alhamdulillah, sehingga kini masih ada tawaran berlakon. Kepercayaan yang diberikan sedikit sebanyak membuktikan bakat masih menjadi keutamaan penerbit dan pengarah,” katanya.

Mengulas perkembangan karier, kata Jue sejak berhijab empat bulan lalu dia lebih selektif bersesuaian dengan imejnya kini.

“Apabila sudah berhijab kenalah pilih watak sesuai. Namun itu tidak bermakna saya tak boleh bawa watak antagonis.

“Malah, saya juga masih bersikap realistik dalam lakonan. Pun begitu, saya takkan sesekali buka hijab jika diminta melakukannya,” katanya.

Jue turut berkongsi dia kini dalam proses mendalami agama dan berubah sedikit demi sedikit.

“Saya tak mahu digelar ustazah segera. Banyak yang perlu belajar dan dalami. Doakan semoga saya terus istiqamah dalam penghijrahan ini,” kata Jue yang menghadiri kelas agama bersama kakaknya.

Dalam pada itu, Jue mendedahkan sejak berkahwin dengan Bayu Pramana Putra Achmal pada 9 Mac 2014, hampir setiap bulan dia membuat pemeriksaan kehamilan.

Bagaimanapun, selepas setahun berharap, dia mula reda hanya berserah kepada Tuhan selain tidak ambil pusing soalan mengenai zuriat.

“Ada ketika saya tertekan dan rimas apabila orang tanya soal anak. Siapa yang tidak mahu anak, tetapi semua itu kuasa Allah.

“Saya anggap belum ada rezeki. Mungkin Allah nak bagi yang terbaik selepas ini. Paling penting sabar, reda dan teruskan berdoa,” katanya.

Perkembangan lain, drama lakonan Jue iaitu Angin Syurga tercalon di peringkat awal Anugerah Skrin 2015 menerusi kategori Drama Rantaian Popular Sosial Media.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 November 2015 @ 2:18 PM