ANTARA hasil kraf yang menarik perhatian.
Oleh Zul Ikhwan Muhammad


Lambakan bahan terbuang seperti botol kaca, ranting kayu, kulit siput dan tin minuman yang boleh didapati de­ngan mudah di kawasan sekitar di Mersing, Johor memberi inspirasi kepada seorang wanita di Kampung Pengkalan Batu untuk menghasilkan kraf tangan menarik.

Malah, Rosnah Ibrahim, 57, mampu menjana pendapatan bersih RM1,000 sebulan melalui aktiviti kraf itu.

Dia mendapat idea menghasilkan kraf ta­ngan itu pada 2006 apabila melihat banyak botol dan kulit siput terdampar di pantai sekitar Mersing.

"Berbekalkan modal permulaan RM100 untuk membeli gam, tali dan cat, saya menggubah bahan terpakai itu untuk dijadikan hiasan dalaman.

"Lama-kelamaan minat itu menjadi sumber pendapatan apabila rakan-rakan yang berkunjung tertarik dengan hasil kraf itu seterusnya mencadang­kan ia dijual di pasaran," katanya.

Usaha itu turut mendapat perhatian beberapa agensi dengan menawarkan Rosnah mengikuti pameran kraftangan hingga ke luar negara dan karnival usahawan.

Kini, hasil seni Rosnah mendapat tempat dalam kalangan pelancong asing.

"Bagi memasarkan produk, selain cerita daripada mulut ke mulut, saya menyertai pameran kraf di seluruh negara.

"Ramai memuji seni kraf yang saya hasilkan kerana selain berkualiti, ia murah," katanya.

Hasil kraftangan terbarunya ialah bunga telur daripada tampuk kelapa yang mendapat sambutan hingga ada tempahan diterima dari Perlis.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 November 2014 @ 5:00 AM