ANTARA mangsa yang berada di pusat pemindahan sementara. FOTO ihsan pembaca
Oleh Safuri Kamarudin


Baling: Hampir 200 mangsa banjir dipindahkan ke enam pusat pemindahan sementara selepas rumah mereka dinaiki air sedalam satu meter akibat hujan berterusan sejak pagi tadi.

Difahamkan, hujan semakin lebat kira-kira 4 petang tadi dan mangsa membabitkan sembilan kampung mulai dipindahkan ke pusat pemindahan sementara kira-kira dua jam kemudian oleh pasukan penyelamat.

Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Baling Shamsul Izrin Isahak berkata, antara kampung terbabit ialah Kampung Bukit Sebelah (15 mangsa), Batu 60 (6), dan Kampung Siput (37) di Mukim Siong.

Menurutnya, Kampung Lahar (15), Bongor Baru/ Banggol Derum (15), Batu 48 (18), Haji Abas/Bawah Gunung (26) dan Kampung Jenalik (6) di Mukim Bongor.

Katanya, Kampung Sungai Limau (14), Gya Reban (14), Charok Sikin (1) dan Bukit Terabak (1) di Mukim Kupang.

"Semua mangsa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara iaitu Kompleks Rakan Muda Batu 42, Dewan Kampung Batu 48, Dewan Banggol Derom, Dewan Bongor Baru, Dewan Tabika Gua Reban dan Dewan Kampung Charok Sikin," katanya.

Difahamkan, Pejabat Ahli Parlimen Baling turut menyalurkan bantuan segera ke pusat pemindahan termasuk tilam, bantal dan selimut.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 November 2015 @ 1:00 AM