Oleh Aida Adilah Mat

Kuala Lumpur: Buat kali ketiga berturut-turut ratu skuasy negara Datuk Nicol David (gambar) gagal bergelar juara apabila percubaannya di Terbuka Qatar menemui titik noktah di separuh akhir.

Pemain nombor dua dunia itu terpaksa akur kepada kehebatan pemain muda Mesir Nour El Sherbini apabila tewas 6-11, 12-10, 11-5, 4-11, 9-11 dalam pertarungan 60 minit itu.

Namun kekalahan Nicol itu dianggap jurulatihnya Liz Irving sebagai pengajaran berguna buat pemain itu agar berhenti meletakkan sasaran terhadap dirinya sendiri.

Menurut Liz, banyak perkara positif yang boleh diambil sepanjang berlangsungnya Terbuka Qatar biarpun Nicol menempuh tahun sukar apabila kehilangan gelaran pemain nombor satu dunia selain gagal menjuarai tiga perlawanan berturut-turut - Terbuka China, Terbuka Amerika Syarikat (AS) dan terbaru, Terbuka Qatar.

Kali terakhir Nicol muncul juara adalah di Kejohanan Terbuka Cleveland Februari lalu.

“Nicol terlalu meletakkan tekanan untuk menang dan sekarang ini dia sudah berhenti berbuat demikian dan perkara itu satu yang bagus untuk dirinya.

“Dia tidak lagi akan menjadi tumpuan. Saya lihat dia mula menikmati kembali permainan skuasy ini,” kata Liz.

Liz berkata, beliau menggunakan beberapa pendekatan baru ke atas Nicol dan memperlihatkan perkembangan positif kepada Nicol yang hanya perlu mempraktikkannya secara konsisten.

Selepas berdepan dengan kegagalan berterusan Liz mengharapkan Nicol terus kekal positif dalam permainannya dan meletakkan kembali kepercayaan kepada diri sendiri yang dia akan kembali menakluk semula dunia skuasy.

Nicol seterusnya dijangka menyertai Kejohanan Dunia yang akan berlangsung Kuala Lumpur pada 11-18 Disember.

Perlawanan akhir Terbuka Qatar menemui Nour dengan juara Terbuka Amerika Syarikat Laura Massaro yang menewaskan Omneya Abdel Kawy 11-7, 11-4, 11-6.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 November 2015 @ 5:08 AM