Mohamed Khaled (tengah) bersama Anwar  (dua dari kiri) pada majlis pecah tanah.
Mohamed Khaled (tengah) bersama Anwar (dua dari kiri) pada majlis pecah tanah.
Oleh Mohamad Fahd Rahmat

Nusajaya: UEM Sunrise Berhad pemaju induk bandar Nusajaya komited untuk membina 3,563 rumah mampu milik menerusi program Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) menjelang 2017.

Pengarah Urusannya Anwar Syahrin Ajid Abdul berkata, satu projek RMMJ dikenali Denai Nusantara bakal dibangunkan mengandungi lima blok setinggi 12 tingkat dengan setiap satu unit kediaman berkeluasan 92 meter persegi.

Beliau berkata, pada Mac lalu pihaknya melancarkan 351 unit RMMJ di Nusa Bayu di sini dengan kerja pecah tanah dimulakan pada 2014 dan kini tahap kemajuan projek mengikut perancangan.

“Projek Denai Nusantara berkeluasan 16 hektar mempunyai 1,109 unit rumah dengan tawaran harga RM150,000 setiap unit yang dijangka siap pada 2017.

“Terletak di kawasan strategik berdekatan dengan hab pengangkutan yang terancang dan kawasan industri di gerbang Nusajaya, Denai Nusantara dilengkapi dengan konsep Pencegahan Jenayah Melalui Rekabentuk Alam Sekitar (CPTED) termasuk mempunyai kemudahan pagar dan pengawal.

“Projek ini mempunyai 108 unit lot kedai satu tingkat berkeluasan 1,200 kaki persegi setiap satu dan berharga RM200,000 seunit selain mempunyai kemudahan awam termasuk dewan serba guna, surau dan tadika,” katanya.

Beliau berkata demikian pada ucapan sempena Majlis Pecah Tanah Denai Nusantara di sini yang disempurnakan Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Anwar berkata, UEM Sunrise bertekad menawarkan lebih banyak perumahan mampu milik di Nusajaya pada masa depan dan bersedia mengadakan perbincangan dengan kerajaan negeri.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 November 2014 @ 5:02 AM