Skip this ad x
Oleh Rudy Imran Shamsudin


Tampil dengan lagu baru sememangnya impian penyanyi baru kerana menjadi sandaran untuk lebih dikenali umum. Bagaimanapun, bagaimana jika baru mahu melangkah tiba-tiba disambut dengan satu dugaan hingga membuatkan diri serba salah.

Apakah mahu teruskan langkah atau berundur? Itulah dilema dihadapi pemenang tempat ketiga program realiti Mentor Lagend, Aina apabila lagu baru yang hendak diperkenalkan ada persamaan dengan lagu seorang lagi pendatang baru.

Aina atau Nurul Aina Abdul Ghani, 22, tampil dengan single pertama ciptaan sepenuhnya oleh Aina tetapi mempunyai persamaan dengan lagu seorang lagi penyanyi yang membuat kemunculan semula, Ernie Zakri.

Lagu Aina berjudul Ini Yang Kau Mahu manakala Ernie yang bernaung di bawah syarikat rakaman FMC menggunakan judul Ini Yang Ku Mahu ciptaan DJ Fuzz.

Bezanya hanya perkataan ‘Kau’ dan ‘Ku’.

Aina mengakui tidak terkejut kerana perkara seperti itu kadang-kadang tidak boleh dielakkan. Cuma Aina bimbang peminat akan keliru apabila perkara ini timbul.

“Apabila perkara seperti ini timbul, pasti peminat akan keliru memandangkan tajuk hampir sama. Tambah pula lagu kami diedarkan dan diperdengarkan dalam waktu hampir sama.

“Jujur, saya tidak sedar perkara itu tetapi syarikat rakaman Indigital Sdn Bhd yang memberitahu. Sebagai pendatang baru, terfikir juga bagaimana keadaan dan situasi lagu kami itu kelak, namun saya tidak mahu melatah dan menganggap ia adalah normal dan satu kebetulan,” katanya.

Aina percaya dalam isu ini tiada mana-mana pihak mahu meniru antara satu sama lain dan tidak menganggap ia masalah besar.

“Ada juga pihak mencadangkan kepada saya memandangkan lagu Ini Yang Kau Mahu ciptaan saya sepenuhnya, pastinya ia memudahkan saya untuk menukar judul lain. Begitupun, saya lebih suka meletakkan keputusan kepada syarikat rakaman.

“Mereka lebih tahu apa yang mahu dilakukan dan adakah ia memberi kesan sekiranya tajuk itu perlu ditukar atau tidak.

“Saya sendiri tidak pernah menetapkan bahawa, disebabkan lagu itu ciptaan saya sepenuhnya bermakna segala keputusan bakal saya ambil mereka perlu akur. Sebaiknya isu seperti ini diserahkan kepada mereka yang lebih berpengalaman untuk menanganinya,” katanya.

Aina juga akui karya sulungnya itu perlahan penerimaannya.

Kata bekas protege Ella ini, dia tidak menaruh harapan tinggi dan menganggap segala-galanya bergantung kepada rezeki.

“Saya cuma mengharapkan pendengar dapat menerima lagu ini. Begitupun ia seperti satu perjudian sama ada ia diterima atau tidak.

“Apatah lagi ini single pertama dan keputusan untuk mendendangkan karya sendiri dan waktu sama mahu memastikan ia diterima, ia berupa satu beban yang berat,” katanya.

Berdepan situasi yang tiada ketentuan, Aina menegaskan dia cuba bersikap positif dengan selalu mengingatkan dirinya sekiranya percubaan pertamanya ini gagal dia boleh lagi mencuba menghasilkan single kedua dan teruskan apa yang dia mulakan sebelum ini.

“Memang betul pada peringkat awalnya saya risau kerana lagu saya belum lagi dimainkan di radio. Namun lama kelamaan apabila saya mendapat khidmat nasihat dari pihak Indigital Sdn Bhd dan penggiat industri sendiri, saya berasakan apa yang saya lalui sekarang ini satu proses biasa.

“Cepat atau lambat penerimaannya itu perkara biasa. Sebagai pendatang baru, segala pandangan dan khidmat nasihat yang diterima itu saya jadikan motivasi diri. Kalau tidak diterima tidak mengapa asalkan kita jangan berputus asa.

“Paling penting, jangan letak harapan terlalu tinggi. Memanglah sebelum ini saya sering meletak harapan tinggi dalam setiap usaha dilakukan, namun apabila memasuki industri sebenar situasinya sangat berbeza,” katanya.

Dalam keadaan situasi sekarang, Aina berfikir untuk mempersiapkan diri. Kalau usaha tidak menjadi, bagaimana dan apa yang harus dilakukan seterusnya. Cuma dia tidak mahu terlalu yakin dengan harapan atau sasaran yang mahu ditetapkan.

Aina kini masih mengikuti pengajian diploma dalam bidang muzik di Kolej Universiti UCSI, Cheras. Selain sibuk mempromosikan single terbarunya, waktu sama dia turut sibuk dengan kuliah dan bakal menyambung pengajian dalam bidang penerbitan lagu untuk sarjana muda yang akan diikuti dalam tempoh dua bulan lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 November 2015 @ 5:03 AM