PEMAIN Arsenal rancang strategi jerat Spurs.
PEMAIN Arsenal rancang strategi jerat Spurs.
AFP

London: Dengan hasrat mahu memadam aib yang berlaku di Bayern Munich, Arsenal bakal mengharungi ujian getir malam ini apabila melayan kunjungan Tottenham Hotspur yang sedang gah memegang rekod 10 perlawanan tanpa kalah dalam kempen Liga Perdana setakat ini.

Arsenal juga tidak perlu merasa rendah diri apabila menang semua lima perlawanan sekali gus mengumpul mata sama dengan pendahulu Manchester City tetapi kekalahan besar 5-1 di Munich mengakibatkan skuad kendalian Arsene Wenger itu berdepan risiko gagal layak ke pusingan kalah mati Liga Juara-Juara buat kali pertama dalam tempoh 16 tahun.

Kekalahan itu hadir apabila Arsenal dilanda masalah kecederaan dan menyedari hakikat Spurs tidak pernah tewas sejak hari pembukaan Liga Perdana, Wenger tahu bahawa hanya semangat juang tinggi mampu menghalang mereka dari terus kecewa.

“Ia keputusan yang mengecewakan pada kempen Liga Juara-Juara tetapi sebelum itu kami mencapai keputusan baik di Liga Perdana dan justeru, kami akan cuba melakukan yang terbaik,” kata Wenger.

“Saya yakin bahawa kami mempunyai keyakinan yang tinggi di dalam aksi Liga Perdana dan kami akan membuktikannya apabila menentang Tottenham nanti.

“Ia adalah perlawanan yang menuntut komitmen dan tumpuan.”

Jika Arsenal gagal, Tottenham berpeluang merapatkan diri dengan Gunners walaupun rekod menunjukkan bahawa mereka hanya menang sekali sepanjang 12 kunjungan ke Stadium Emirates sebelum ini.

Penyerang Harry Kane yang pernah beraksi di Emirates, bimbang dengan kebangkitan Arsenal tetapi selepas berjaya melakar kemenangan ke atas Aston Villa dan Anderlecht minggu ini, dia percaya skuad kendalian Mauricio Pochettino itu tidak perlu bimbang.

“Mereka pasti mahu memadam kekecewaan pertengahan minggu dan meletakkan segala-galanya di landasan tepat,” kata penyerang England berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 November 2015 @ 5:06 AM