GANDINGAN dua generasi, Siti dan Ramli dalam lagu duet.
Oleh Ramlah Zainal


Kejayaan Konsert Satu Suara Volume 2 yang berlangsung di Panggung Sari, Istana Budaya (IB) selama dua malam berturut-turut kelmarin turut melakar sejarah tersendiri dalam kanvas seni Datuk Siti Nurhaliza Tarudin sepanjang dua dekad berkecimpung dalam bidang nyanyian.

Malah, lebih 1,300 penonton membanjiri Panggung Sari untuk menyaksikan kehebatan penyanyi nombor satu negara itu.

Lebih bermakna, Konsert Satu Suara Volume 2 itu juga turut merealisasikan impian Siti untuk berkolaborasi de–ngan dua penghibur legenda, Datuk Ramli Sarip dan Hetty Koes Endang.

Menerusi konsert sama pada 2010, Siti bergandingan dengan Faizal Tahir dan Aizat Amdan.

“Alhamdulillah, konsert ini cukup istimewa kerana dapat berkongsi pentas dengan dua legenda muzik Singapura dan Indonesia.

“Saya juga sangat teruja kerana ia persembahan berskala besar pertama bersama Hetty dan Datuk Ramli apabila saya membesar dengan lagu mereka.

“Justeru, saya menganggap kesudian mereka menjayakan konsert ini sebagai satu penghargaan,” katanya.

Siti turut memaklumkan akan meneruskan jenama Satu Suara pada masa akan datang.

“Selepas konsert unplugged pada 7 April lalu, hari ini (7 November) genaplah 20 tahun pembabitan saya dalam industri muzik tanah air.

“Rasa sedih apabila konsert muzikal yang dirancang terpaksa ditunda terubat apabila impian bergandingan dengan Datuk Ramli dan Hetty menjadi kenyataan,” katanya.

Sudah namanya penghibur profesional, sambil menyanyi Siti turut berkomunikasi dengan penonton dengan menceritakan pembabitan awalnya dalam bidang nyanyian.

“Saya memang suka menyanyi dan berangan depan cermin sejak kecil. Antara lagu yang saya nyanyikan ketika itu adalah dendangan Hetty.

“Ibu saya juga penyanyi di kampung dan kini saya meneruskan perjuangannya.

“Kali terakhir berjumpa Hetty adalah pada majlis perkahwinan saya. Memang tidak sabar bergandingan dengannya dalam konsert ini,” katanya.

Pada malam itu Siti menyampaikan 20 lagu popular dendangannya, Hetty, Ramli secara solo dan medley termasuklah Kesilapanmu Keegoanku, Bicara Manis Menghiris Kalbu, Terbaik Bagimu, Titik-Titik Noda, Hadirlah Kasih dan Camelia.

Siti turut berduet dengan Hetty menerusi lagu Pastikan, Pedihnya Rasa, Bukan Cinta Biasa dan Kuda Hitam manakala dengan Ramli pula beberapa lagu termasuk lagu Inggeris.

Persembahan siti diiringi pemuzik handalan yang diketuai komposer ternama, Aubrey Suwito.

Ramli dan Hetty penghibur sejati

Tiada siapa dapat menidakkan kehebatan persembahan Hetty dan Ramli pada malam itu. Tidak hairanlah, setiap kali muncul di atas pentas mereka mendapat tepukan gemuruh daripada penonton.

Bukan saja persembahan duet dengan Siti, Hetty turut mengalunkan rangkaian lagu popularnya secara solo.

Bukan saja memukau penonton dengan vokal hebatnya, pada usia emas Hetty masih lincah dan bertenaga di atas pentas. Dia juga suka berjenaka dengan penonton sambil menyanyi.

Seperti Hetty, kedudukan pejuang tegar genre rock,

Ramli juga sukar digugat sampai sekarang. Selain vokal mantap dan tidak berubah, rangkaian lagu yang disampaikan Ramli malar segar apabila terus menjadi siulan ramai.

Antara lagu popularnya yang disampaikan pada malam itu adalah Doa Buat Kekasih dan Bukan Kerana Nama.

Bukan saja golongan peminat sezaman dengannya, generasi muda turut menghafal lagu Ramli dan turut sama menyanyi pada malam itu.

Konsert pada malam itu diakhiri dengan persembahan secara trio menerusi lagu irama padang pasir iaitu Lagu Rindu dan Temasya.

Penonton turut bangun dan menyanyi bersama Siti dan dua legenda muzik terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 November 2015 @ 5:00 AM