TRAORE  (kiri) muncul penjaring terbanyak Liga Super dengan 20 gol.
TRAORE (kiri) muncul penjaring terbanyak Liga Super dengan 20 gol.
Oleh Rodly Fadly

Kuala Lumpur: Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu memperkukuhkan bentengnya jika mahu memberi cabaran lebih hebat dalam saingan Liga Malaysia musim depan.

Penyerang importnya Drame Traore berkata, kerapuhan benteng PDRM musim ini jelas menjadi punca mengapa pasukan itu tidak mampu melangkah jauh dalam Liga Super dan gagal mara ke suku akhir Piala Malaysia.

“PDRM terbukti memiliki rangkaian serangan yang bagus. Kami menjaringkan 42 gol sepanjang Liga Super lalu tapi pintu gol kami pula dibolosi 39 jaringan. Situasi yang sama berlaku dalam Piala Malaysia, kami jaring 10 tapi kena 16 gol,” ujar Traore.

The Cops menduduki tangga keenam Liga Super dan menghuni tangga tercorot Kumpulan D Piala Malaysia dengan lima mata hasil satu kemenangan, dua seri dan tiga kekalahan.

“Ini sesuatu yang amat mengecewakan dan perlu diberi perhatian serius oleh pengurusan jika mereka mahu menjadi pencabar utama musim depan. Memang benar, sebarang kekalahan tanggungjawab semua pemain tapi jika benteng diperkukuhkan, masalah itu akan dapat diperbaiki.

“Saya tidak berniat memperkecilkan kemampuan sesiapa tapi dalam pertandingan seperti Liga Super, PDRM tidak boleh bergantung 100 peratus kepada pemain tempatan. Ini kerana setiap pasukan membariskan penyerang import yang tidak mampu disaingi oleh pertahanan tempatan semata-mata.

“Oleh itu cadangan saya kepada PDRM, dapatkan seorang pemain pertahanan import yang berkemampuan untuk memimpin barisan pertahanan. Pada masa sama, pemain pertahanan tempatan dapat mempelajari sesuatu daripada pemain import ini,” ujar penjaring terbanyak Liga Super dengan 20 gol itu.

Mengenai masa depannya bersama pasukan itu, Traore berkata, belum ada kata putus antara kedua-dua pihak walaupun PDRM menunjukkan minat untuk menyambung kontraknya.

“Sejujurnya saya gembira mewakili PDRM musim ini apatah lagi saya mampu menjadi penjaring terbanyak. Mereka juga melayan saya dengan baik malah rakan sepasukan bagai satu keluarga. Jika diberi pilihan, saya mahu terus menyarung jersi pasukan ini.

“Tapi pada masa sama saya juga perlu meneliti tawaran pasukan lain. Sebagai pemain profesional, sudah tentu keutamaan saya kepada pasukan yang memberi tawaran terbaik, bukan saja gaji tapi pelbagai aspek lain.

“Oleh itu pintu perbincangan masih terbuka dan ejen saya, Alfa (Potobawi) akan menguruskannya. Jika sudah tidak ada rezeki saya dengan PDRM, saya ucapkan terima kasih dan selamat maju jaya kepada mereka,” jelas Traore.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 November 2015 @ 6:25 AM