SUKARELAWAN Estee Lauder bersama peserta Bengkel Kesedaran Payu Dara.
Teks dan gambar Zuhainy Zulkiffli


“Hanya sokongan keluarga dan masyarakat saja yang boleh mendorong kami supaya terus berjuang melawan kanser payu dara.” Demikian harapan pesakit kanser payu dara tahap dua, Mary Lee, 69, yang terpaksa memendam kesakitan dan gigih berjuang demi keluarga serta rakan tersayang.

Wanita yang dikesan menghidap kanser payu dara sejak empat tahun lalu itu kini masih mampu tersenyum dan menikmati sisa hidup dengan ceria selepas mendapat sokongan masyarakat sekeliling.

Bercerita mengenai pengalaman selepas disahkan menghidap penyakit itu pada 2011, Mary berkata, dia hanya mampu menangis selama tiga bulan kerana mengenangkan dugaan yang bakal dialami selain bimbang tiada sokongan keluarga.

“Sangkaan saya meleset apabila suami dan tiga anak amat memberi galakan supaya terus berjuang walaupun pada hakikatnya mereka sukar menerima perubahan yang bakal saya alami.

“Mereka menipu saya dengan berpura-pura ceria memberi sokongan,

tetapi sebenarnya di belakang saya mereka turut bersedih dan menangis kerana bimbang akan kehilangan saya dalam masa singkat,” katanya.

Selepas menjalani pembedahan bagi membuang bahagian payu dara kiri, Mary berkata, saat menakutkan ketika menghadapi kesan selepas kemoterapi kerana keadaan rupa parasnya turut berubah.

Selain mengalami keguguran rambut yang banyak, dia sukar tidur dan terpaksa mengambil ubat tidur setiap malam.

“Anak menasihatkan supaya menghentikan pengambilan ubat itu yang ternyata memberi kesan sampingan lain dan mencuba kaedah bersenam sambil mengikut rentak muzik.

“Saya mencuba senaman yoga bagi menenangkan fikiran dan ternyata kaedah itu menyebabkan saya letih pada waktu malam dan mudah melelapkan mata,” katanya yang menetap di Pulau Tikus, Georgetown, Pulau Pinang.

Mary kini aktif bersama Kumpulan Sokongan Barah Payudara Pink Pulau Pinang yang bekerjasama dengan beberapa hospital bagi menyampaikan ceramah dan kaunseling kepada individu yang baru disahkan menghidap penyakit berkenan supaya mereka menerima ketentuan Tuhan itu dengan positif.

“Ada yang pada mulanya hanya menangis, namun selepas beberapa sesi, mereka kembali ceria dan itu saat paling bermakna kepada saya,” katanya.

Mary antara 34 peserta yang ditemui ketika mengikuti Bengkel Kesedaran Kanser Payu Dara (BCA), kali kedua dianjurkan The Estee Lauder Companies di Pulau Pinang.

Dalam bengkel itu, peserta berpeluang mengikuti tutorial menggunakan alat solek dan dandanan rambut bagi membina keyakinan diri serta penampilan.

Sementara itu, Koah Poh Choo, 52, turut berkongsi pengalaman berjuang melawan kanser payu dara sejak empat tahun lalu dan mendapat sokongan ibu serta lapan lagi adik beradiknya.

Koah disahkan menghidap kanser payu dara tahap dua selepas mengikut kenalannya membuat ujian mamogram di sebuah hospital swasta secara sukarela.

Dia akui, ibunya antara insan yang amat bersedih dan meminta supaya dia menurut saja saranan doktor bagi melakukan pembedahan dan kemoterapi.

“Saya ibarat sudah hilang waras selepas disahkan menghidap barah dan hanya mengikut saja nasihat ibu serta adik bongsu kerana tidak mampu lagi berfikir secara baik.

“Mujurlah adik banyak membantu memberi kata semangat dan sentiasa menemani saya sepanjang menjalani 18 siri kemoterapi sejak 2011,” katanya.

Seperti Mary, Koah turut mengalami keguguran rambut yang ketara selain sukar tidur dan badan terasa panas, kesan daripada rawatan kemoterapi.

Walaupun takut melihat gumpalan rambut yang gugur setiap hari, dia berjaya mengharunginya sendirian dan merahsiakan perkara itu daripada keluarga.

“Saya bimbang jika mereka terkejut dengan penampilan ‘hodoh’ itu. Saya pula mengelak daripada berjumpa mereka sehingga rambut tumbuh semula selepas dua bulan.

“Entah bagaimana nasib saya sekarang sekiranya keluarga dan rakan tidak memberi sokongan, malah melihat senyuman mereka saja membuat saya lebih tabah,” katanya yang kini aktif menyertai aktiviti tarian bersama pesakit kanser payu dara di negeri ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 November 2015 @ 9:45 AM