KEADAAN kereta selepas bertembung lori. FOTO ihsan Bomba
Oleh Siti Nadzirah Che Mud


Machang: Pekerja stesen minyak dan neneknya maut dalam kemalangan membabitkan kereta dan lori di Kilometer 50.5, Jalan Kota Bharu-Kuala Krai, Machang, petang semalam.

Dalam kejadian 5.45 petang itu, Mohd Faisal Zulkifli, 20, meninggal dunia di lokasi kejadian manakala neneknya Robiah Awang, 67, meninggal dunia 10 malam tadi ketika dirawat di Hospital Machang.

Jurucakap Polis Machang berkata, ketika kejadian mangsa memandu kereta dari Kuala Krai menghala ke Kota Bharu.

"Apabila tiba di lokasi kejadian mangsa cuba memotong kenderaan di hadapannya namun gagal sebelum bertembung dengan lori dari arah bertentangan.

"Pemandu kereta meninggal dunia di lokasi kejadian manakala penumpang kereta meninggal dunia di hospital 10 malam tadi akibat parah di kepala," katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1)Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 November 2015 @ 12:33 PM