Oleh Muhamaad Razis Ismail

Kota Bharu: Mekanik dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, atas tuduhan menetak lelaki dengan parang, Oktober lalu.

Bagaimanapun, Tan Poh Hua, 40, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan di hadapan Hakim Mohd Yusoff Yunus.

Tertuduh bersama dua lagi yang masih bebas didakwa mendatangkan kecederaan parah terhadap Sin Cin Ann, 53, dengan dengan parang di dalam kedai makan di Taman Krai Baru, Kuala Krai, 1.50 pagi, 31 Oktober 2015.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan humkuman penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebat.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nordalina Ali tidak menawarkan jaminan.

Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili peguam bela Wan Mohd Ikrham Wan Ibrahim memohon jaminan minimum dibenarkan.

Tertuduh dibenarkan diikat jamin RM30,000 dengan seorang penjamin dengan syarat tertuduh tidak dibenarkan menganggu mangsa sehingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan 14 Disember depan untuk sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 November 2015 @ 4:31 PM