Jasin: Latihan intensif setiap hari membuatkan Lizard Team dari Melaka tampil yakin memberi saingan sengit pada Kejohanan Harian Metro Mountain Bike (MTB) Grand Prix Cuti-Cuti 1Malaysia 2014 di Asahan hujung bulan ini.

Dengan pembabitan tujuh pengayuh, pasukan itu menyandarkan harapan kepada tiga pelumba muda bagi memberi cabaran dalam kategori Terbuka Metro (Remaja).

Ketua Lizard Team Aziz Bakar berkata, pasukan itu menjalani latihan hampir setiap hari pada pagi dan petang bagi meningkatkan tahap kecergasan dan kekuatan mental.

Selain itu katanya, mereka juga mengadakan latihan laluan lasak pada hujung minggu sebagai persediaan menguatkan fizikal dan kecekapan mengendalikan basikal.

“Kami meletakkan harapan ke atas tiga pelumba remaja untuk menamatkan saingan dalam kelompok 50 teratas kategori itu.

“Matlamat kami adalah melahirkan pengayuh muda berbakat yang sedia tampil dalam setiap perlumbaan sekali gus meningkatkan persaingan dalam sukan lasak ini," katanya semalam.

Aziz berkata, mereka juga aktif menyertai pelbagai kejohanan tempatan, sekurang-kurangnya tiga penyertaan pada setiap bulan.

Katanya, penyertaan dalam kejohanan MTB itu diputuskan bagi menilai prestasi mereka sama ada boleh bersaing dengan peserta lain atau sebaliknya.

“Kejohanan ini akan dijadikan medan menilai kelemahan dan dengan cara itu pelumba kami boleh meningkat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 November 2014 @ 5:06 AM