MANCINI nyata hasrat mahu pinjam Pirlo dari New York City FC.
MANCINI nyata hasrat mahu pinjam Pirlo dari New York City FC.

New York: Pengurus besar Juventus Beppe Marotta berkata, beliau tidak menjangka Andrea Pirlo sedia kembali ke Itali walaupun khabar angin menyebut pemain itu mungkin mengikat kontrak dengan Inter Milan dalam masa terdekat ini.

Pirlo meninggalkan Juventus untuk menyertai New York City FC musim panas lalu walaupun masing-masing mempunyai baki kontrak setahun di Turin.

Pemain tengah Itali itu merasakan sudah tiba masa untuknya meninggalkan Serie A dan bermain di Major League Soccer, tetapi jurulatih Inter Roberto Mancini baru-baru ini berkata bahawa beliau sedia memikirkan untuk kembali meminjam Pirlo.

Begitupun, Marotta berkata beliau amat mengenali pemain berusia 36 tahun itu dan yakin Pirlo tidak akan kembali ke Itali terutama Inter.

“Ini keputusan peribadi, tapi saya kenal dengan Andrea dan saya tahu betapa seriusnya dia,” kata Marotta. “Atas sebab ini, saya sangat yakin apabila tawaran itu tiba, dia pasti menolaknya.”

Pirlo yang mewakili Inter dan AC Milan pada awal kariernya, pernah berkata dia enggan pulang ke Itali kerana menganggap tindakan itu tidak adil buat majikannya ketika ini.

Begitupun, selepas kedudukannya dalam skuad Itali untuk Euro 2016 kelihatan masih samar, dia mungkin memikirkan semula kenyataannya sebelum ini.

Kelmarin, jurulatih kebangsaan Itali Antonio Conte berkata, beliau mengalu-alukan Pirlo untuk kembali bermain di Serie A atau berdepan kemungkinan digugurkan daripada skuad yang akan ke Perancis.
- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 November 2015 @ 9:39 AM