Bangkok: Seramai 88 suspek termasuk seorang pegawai kanan tentera berpangkat jeneral dihadapkan ke mahkamah jenayah di sini semalam kerana disyaki terbabit dalam aktiviti perdagangan manusia.

Panel tujuh hakim memperincikan dakwaan terhadap kumpulan berkenaan yang dituduh memperdagangkan manusia antara Januari 2011 hingga Mei 2015.

“Semua tertuduh membiarkan mangsa kebuluran, menafikan rawatan kesihatan kepada yang sakit dan menyembunyikan mayat mereka yang mati di kem di dalam hutan,” kata seorang hakim.

Seorang pegawai kanan tentera, Jeneral Manas Kongpan turut didakwa kerana membantu sindiket berkenaan.

Sementara itu, seorang pegawai mahkamah memberitahu, keputusan perbicaraan itu mungkin diketahui beberapa tahun lagi.

Katanya, kes yang mendapat perhatian antarabangsa itu mungkin berlangsung dalam masa yang lama kerana terdapat 500 saksi yang perlu disoal-siasat.

“Sebanyak 200 pertemuan diperlukan untuk menilai semua saksi ini dan proses ini sahaja mungkin mengambil masa dua tahun,” katanya.

Semua suspek itu ditahan dan didakwa susulan penemuan puluhan mayat pelarian di sebuah kem penyeludupan manusia berhampiran sempadan Thailand dan Malaysia pada Mei lalu.

Bagaimanapun, beberapa kumpulan hak asasi manusia mempersoalkan komitmen Bangkok untuk menamatkan perdagangan haram itu selepas seorang pegawai kanan polis yang mengetuai siasatan meletak jawatan pada Ahad lalu.

Paween Pongsirin yang mengetuai siasatan dan tangkapan kes itu memberitahu, dia meletakkan jawatan selepas diarah bertugas di selatan Thailand sekali gus mendedahkannya dengan risiko balas dendam oleh anggota sindiket yang masih bebas.

Katanya, dia juga membubarkan pasukannya kerana bimbang dengan keselamatan anggota polis itu.

“Saya meminta maaf. Sebenarnya, saya masih mahu menjadi pegawai polis dan berkhidmat kepada rakyat,” katanya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 November 2015 @ 9:52 AM