X
RUSELL  menunjukkan contoh mesyuarat digital ‘Boardroom’.
RUSELL menunjukkan contoh mesyuarat digital ‘Boardroom’.
Oleh Afiq Hanif

Menjadi kebiasaan ketika membentangkan laporan misalnya mengenai prestasi syarikat, anda menggunakan data lama dan sudah lapuk yang mungkin tidak relevan untuk syarikat anda.

Contoh lain, anda sedang menyediakan laporan kewangan dan bos pula menyoal mengenai jangkaan prestasi masa depan yang sudah pasti sukar dijawab pada masa itu juga.

Berlainan sekiranya syarikat anda menggunakan sistem SAP, ia berupaya menjangkakan masa depan atau prestasi berdasarkan analisis data bersepadu dari pelbagai sumber dalam syarikat dan memberikan jawapan sekelip mata.

Ketua Pegawai Operasi SAP Asia Pasifik dan Jepun, Scott Russell, memaklumkan ia berkaitan dengan sistem dipanggil ‘Boardroom’ dalam SAP yang membantu memberikan data tepat berasaskan analisis menyeluruh syarikat.

“Ia bertindak seakan otak memproses segalanya dan menyediakan jawapan dengan pantas,” katanya.

Terkenal dengan penyelesaian canggih bagi enterpris, SAP mengetengahkan rumusan yang mampu membantu perniagaan di negara ini untuk melonjakkan operasi berskala lebih besar menggunakan teknologi perisian moden.

Boardroom menjadi penyelesaian generasi masa depan bertujuan membantu memudahkan tugas perkomputeran serta analisis data lebih bersepadu dan bertepatan dengan kehendak semasa.

“Perisian ini berasaskan perkomputeran ‘cloud’ di premis untuk memberikan pilihan maksimum kepada pengguna berpotensi,” katanya.

Ulasnya, jika jawapan yang biasanya perlu dijawab pada mesyuarat seterusnya, perisian SAP membenarkannya dijawab pada masa itu dengan hanya sekali klik.

“Ia menjimatkan masa dan membantu mengukur prestasi secara lebih baik,” katanya.

Katanya, teknologi itu mempunyai pelbagai guna bagi menganalisis sumber data dalam aplikasi yang boleh menyelenggarakan aplikasi perniagaan seperti perancangan, peramalan, prestasi operasi dan simulasi.

“Selain itu, teknologi ini membantu semua jenis perniagaan bagi meningkatkan prestasi penggunaan teknologinya dalam operasi perniagaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 November 2015 @ 10:17 AM