London: Sebagai persediaan pelaksanaan sistem saringan analisis data bagi kemasukan penumpang melalui jalan udara ke dalam negara oleh Jabatan Imigresen, Malaysia meninjau penggunaan sistem sama oleh United Kingdom (UK) di Manchester.

Pengalaman UK mengendalikan sistem analisis data ‘Maklumat Awal Penumpang’ (API) dan ‘Rekod Nama Penumpang’ (PNR) dipelajari sebelum Malaysia sendiri memperkenalkan sistem saringannya yang dikenali sebagai ‘Sistem Saringan Awal Penumpang’ (APSS).

Pengenalan dan pelaksanaan sistem saringan APSS menjadi prasyarat kepada Malaysia untuk mengikuti Program Pengecualian Visa (VWP) dari Amerika Syarikat yang akan membolehkan rakyat Malaysia membuat perjalanan ke AS tanpa visa.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang dalam rangka lawatan empat hari ke United Kingdom pada Selasa mengetuai rombongan delegasi Malaysia meninjau ‘National Border Tracking Centre’ (NBTC) di Manchester yang mengendalikan pemantauan dan saringan menggunakan sistem API dan PNR untuk penumpang semua perjalanan antarabangsa.

Bercakap kepada wartawan Malaysia, Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata sehingga kini NBTC memproses 427 juta data API dan 55 juta data PNR untuk penumpang jalan udara yang masuk dan keluar dari United Kingdom.

Katanya, penggunaan kaedah saringan itu lebih menjimatkan masa dan efisien tanpa memerlukan pemeriksaan fizikal terhadap penumpang.

“Saringan menggunakan data API dan PNR juga dapat membantu mencegah dan membanteras aktiviti jenayah rentas sempadan di pintu masuk dan keluar negara.

“Saya melawat pusat seumpama ini iaitu National Targeting Centre di Washington, Amerika Syarikat pada tahun lalu,” katanya.

Ahmad Zahid berkata, APSS yang menghubungkan data dengan jabatan penerbangan awam dan syarikat penerbangan akan dilaksanakan seberapa segera selepas Malaysia menandatangani Perjanjian Pencegahan dan Pembanterasan Jenayah Berat (PCSC) dengan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur.

PCSC dijadualkan ditandatangani antara Malaysia dan Amerika Syarikat apabila Presiden Barack Obama melawat Malaysia ketika Sidang Kemuncak ASEAN yang dijadualkan pada minggu ketiga bulan ini.

Perjanjian PCSC adalah keperluan terakhir bagi Malaysia untuk menyertai VWP. Malaysia sebelum ini sudah menandatangani Aturan Arahan Presiden Keselamatan Negara No.6 (HSPD-6), yang juga antara perjanjian yang diperlukan bagi VWP.

Timbalan Perdana Menteri juga berkata, Malaysia perlu mempelajari sistem saringan seperti API dan PNR di UK bagi menjamin keselamatan negara dan ia perlu dilaksanakan seiring dengan pelaksanaan Sistem Kawalan Imigresen Nasional (SKIN). – BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 November 2015 @ 8:34 AM