ANTARA babak dalam Sesal Separuh Nyawa.
ANTARA babak dalam Sesal Separuh Nyawa.
Oleh Ridzuan Abdul Rahman


Rezeki pengarah Michael Ang nampaknya murah apabila tidak henti-henti ditawarkan mengarah telefilem dan drama bersiri.

Terbaru, pengarah sensasi ini sibuk di lokasi penggambaran drama bersiri Sesal Separuh Nyawa yang menggabungkan pelakon Ayda Jebat, Aiman Hakim, Lia Natalia, Nina Nadira, Aidit Noh dan ramai lagi.

Selain penggambaran di dalam negara, drama terbitan Darkwave Pictures milik Datuk Rafiena Ezanee Ramli ini turut menjalani penggambaran di Amsterdam, Belanda, baru-baru ini.

Michael berkata, inspirasi menghasilkan drama yang akan bersiaran menerusi Saluran 116 HyppTV bermula Januari tahun depan ini sememangnya diambil daripada lagu Sesal Separuh Nyawa nyanyian Alyah yang mempunyai maksud mendalam.

“Ideanya daripada saya sendiri dan Rafiena yang melihat ada sesuatu dalam lagu ini. Ia berkisarkan pada kehidupan kita yang ada sisi hitam dan putih.

“Selalunya kita hanya lihat sesuatu watak kalau baik, terus baik dan kalau jahat terus jahat. Tapi drama ini ada kelainannya kerana dapat lihat manusia berubah atas sesuatu sebab.

“Konsep ceritanya ialah seorang manusia yang sentiasa buat baik dalam hidupnya, tapi orang selalu menganiayanya dengan perkara jahat sehingga dia bangkit membalas dendam,” katanya.

Menurutnya, dia bernasib baik kerana penggambaran di Amsterdam berjalan lancar. Penggiat industri perfileman di sana memberikan layanan yang baik kepada pelakon dan semua kru yang terbabit.

“Kami pergi 17 orang termasuk empat pelakon utama seperti Ayda, Aiman Hakim, Nina dan Aidit. Tiada sebarang masalah langsung kerana kami bebas menjalani penggambaran tanpa hala­ngan.

“Penggambaran dibuat di lapangan terbang, dalam kereta api dan pelbagai lokasi semuanya dengan kebenaran dan secara percuma. Ini buat saya kagum kerana mereka menyokong dengan baik.

“Pihak di sana sangat-sangat membantu. Kami tak perlulah buat penggambaran secara sembunyi-sembunyi atau menggunakan telefon bimbit,” katanya.

Menyambung cerita, Michael mengakui hanya berdepan masalah cuaca yang tidak menentu di Belanda. Baginya masalah jadual pelakon lebih memeningkan kepada produksi.

“Saya tiada masalah bekerja dengan Ayda dan semua pelakon cerita ini. Yang menimbulkan masalah ialah jadual mereka yang tidak sama membuatkan pengurus produksi terpaksa menyusun dengan sebaik mungkin.

“Nak dapat satukan jadual mereka boleh buat kami pecah kepala. Bagaimanapun, saya lega kerana selepas 12 November (hari ini), semua pelakon ini tamat penggambaran dengan produksi lain dan dapat fokus dengan cerita ini.

“Drama 30 episod ini menjalani penggambaran sehingga hujung Di­sember dan saya tak perlu tergesa-gesa nak siapkannya. Saya lebih suka bekerja dengan sepenuh jiwa dan bukannya kerana terpaksa sebab sudah tandatangan kontrak mengarah,” jelasnya.

Menurutnya, dalam aspek teknikal dia tetap menggunakan dua kamera untuk penggambaran bagi mendapatkan hasil yang terbaik.

“Cerita ini dihasilkan untuk tujuan hiburan dan mendidik penonton. Sama ada ia mempunyai nilai seni atau tidak, terserah kepada mereka untuk menilaikannya.

“Bagi saya, sekiranya sesebuah drama diterima baik penonton, bermakna maksudnya sudah sampai kepada mereka. Medium TV bukanlah platform untuk kita menghasilkan karya yang terlalu berseni.

“Buat masa ini saya memang banyak mengarahkan drama bersiri berbanding telefilem. Selepas ini, saya mengarah satu lagi siri sebelum mengarah telefilem pada Mac nanti dan filem Kimchi Untuk Awak pada April tahun depan,” katanya.

Sesal Separuh Nyawa mengisahkan Farah (Ayda Jebat), seorang anak orang kaya yang bercinta de­ngan Razlan (Aiman Hakim) yang juga kawan baiknya sejak kecil.

Bagaimanapun percintaan mereka dihalang ibu mereka yang bermusuhan. Kerana halangan keluarga, pasangan ini terpaksa ‘dating’ secara sembunyi-sembunyi.’

Malangnya perhubungan ini diketahui oleh keluarga mereka dan pasangan ini dihalang berkahwin. Disebabkan putus asa dan kecewa, Farah berkahwin dengan lelaki jauh berusia.

Namun malang menimpanya apabila anak mereka menghidap penyakit jantung yang memaksanya mengambil tindakan yang drastik dalam hidup.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 November 2015 @ 12:02 PM
Digital NSTP Subscribe