PAPAR beberapa pembaharuan dalam francais Blizzard yang popular masa kini.
PAPAR beberapa pembaharuan dalam francais Blizzard yang popular masa kini.
Oleh Hazril Md. Nor

HAZRIL MD NOR kongsi tiga pembaharuan dalam francais Blizzard yang diumumkan di konvensyen BlizzCon baru-baru ini.

Dalam dunia permainan video, pembangun berlumba-lumba antara satu sama lain dalam usaha memperkenalkan mekanisme baru dan sistem unik.

Salah satu caranya ialah melalui konvensyen yang mengumpulkan francais permainan video di bawah satu syarikat besar. Blizzard antara pelopor yang mendominasi arena ini dengan jayanya.

Bercerita saja mengenai Blizzard, ramai terbayangkan permainan berkonsepkan dunia fantasi meluas tanpa batasan imaginasi. Lihat saja keluarannya yang ‘meletup’ di seluruh dunia seperti World of Warcraft, Starcraft dan juga Diablo 3.

Acara tahunan BlizzCon sekali lagi membawa pembaharuan dalam francais itu yang merangkumi karakter baru, penambahbaikan sistem dan banyak lagi. Penulis bincangkan beberapa pembaharuan yang wajar diberi perhatian terutama bagi pengikut tegar francais ini.

Masa depan Starcraft

Francais berbilion dolar ini sudah semestinya tidak dihentikan begitu saja malah diteruskan legasinya. Selepas kejayaan Starcraft 2: Wings of Liberty, dunia Protoss, Zerg dan Terran ini diterokai lebih meluas dalam ‘expansion’ ketiga.

Legacy of the Void ditayangkan di BlizzCon baru-baru ini pastinya memberi kejutan kepada pengikut tegar francais ini. Video berdurasi tiga minit itu memaparkan pengembaraan Raynor, Kerrigan dan Artanis sebelum berlaku tragedi dahsyat yang menukarkan personaliti dan mempersoalkan tahap kesetiaan mereka.

Dalam keluaran terbaru ini, peminat akan disajikan dengan kefahaman lebih lanjut mengenai dunia Starcraft menerusi misi boleh dimuat turun (DLC). Ia memfokuskan sepenuhnya kepada Artanis, sebagai pemimpin puak Protoss apabila dia membimbing puak dengan kecerdasan luar biasa itu menuntut kembali tanah air mereka daripada ‘alien’ Zerg.

Perkembangan baru HOTS

Heroes of The Storm (HOTS) dikenali dengan percampuran hero daripada dunia fantasi berbeza. Di BlizzCon, beberapa lagi watak diperkenalkan daripada dunia World of Warcraft iaitu Lunara, Greymane dan Cho’Gall.

Sistem pencarian perlawanan juga dipertingkatkan kualitinya untuk menyaingi pesaing luar seperti Dota 2. Difahamkan, kelemahan sistem ini pada mulanya ialah keinginan Blizzard memudahkan pemain mencari perlawanan tanpa perlu menunggu.

Kesannya, pemain dipertandingkan dengan lawan lebih kuat dan lemah bergantung kepada nasib. Namun kini, pemain akan diletakkan bersama lawan lebih sama kemahirannya dalam permainan itu sekali gus mencipta sesi perlawanan lebih seimbang.

Perluaskan dunia WOW

Boleh dikatakan World of Warcraft (WOW) membentuk identiti sendiri sebagai ‘game’ berkonsepkan dunia terbuka paling popular. Elemen fantasi yang asli dan watak daripada budaya serta kaum berbeza antara kekuatan utama francais ini.

BlizzCon tahun ini mendedahkan ‘expansion’ baru dikenali sebagai World of Warcraft: Legion. Ia mengenengahkan kebebasan pemain untuk bergerak dari zon tertentu apabila mereka sedang menaikkan ‘level’ dalam keluaran terbaru ini.

Apabila pemain mencecah peringkat ke-100, Blizzard menjanjikan pelbagai misi boleh diakses sekali gus menandakan persinggahan dari misi harian yang menentukan pengakhiran permainan itu. Misi itu seterusnya dibezakan mengikut waktu tertentu daripada beberapa hari hingga berminggu-minggu.

Dari segi kandungannya, misi ini mengumpulkan pelbagai objektif termasuklah pemain lawan pemain (PVP), pembunuhan ketua antara dunia dan juga permainan mini. Akhir sekali, WOW turut memperkenalkan watak baru, Demon Hunter dalam keluaran keenam ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 November 2015 @ 1:14 PM