Saiful Bahri (kanan) di lokasi penemuan mayat. FOTO Ramli Ibrahim
Oleh Ramli Ibrahim


Gua Musang: Mayat lelaki dipercayai warga emas Orang Asli yang hilang sejak 30 Oktober ditemui di ladang sawit milik persendirian dekat pinggir hutan berhampiran Felda Aring 5, di sini, 9 pagi tadi.

Mayat itu ditemui dalam keadaan terbaring di tepi pokok kelapa sawit oleh dua pekerja ladang warga Indonesia yang melakukan kerja mengutip buah sawit.

Ketua Polis Daerah Gua Musang Superintendan Saiful Bahri Abdullah ketika ditemui mengesahkan penemuan mayat itu.

"Kita percaya mayat ini ada kaitan dengan warga emas Orang Asli yang hilang, baru-baru ini.

"Bagaimanapun, bedah siasat perlu dilakukan termasuk ujian DNA untuk pengesahan identiti berikutan keadaan mayat yang semakin mereput. Mayat dihantar ke Hospital Gua Musang untuk tujuan berkenaan," katanya.

Pada 6 November lalu, keluarga Abd Hakim atau Udang Salok, 63, dari Kampung Lebir, Felda Aring 5, di sini membuat laporan polis berikutan kehilangan warga emas itu selepas keluar rumah sejak 30 Oktober.

Abd Hakim kerap ke hutan untuk mencari akar kayu dan ke kebun, namun akan pulang selepas tiga hari.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 November 2015 @ 2:45 PM