X
FOTO ihsan abcnews
FOTO ihsan abcnews

Kuala Lumpur: Seorang warga Pakistan yang mencabul tukang cuci wanita dalam tandas lelaki, dipenjara sebulan dan denda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Majistret Saifulakmal Said membuat keputusan itu selepas Mahmud Shak Sultan, 26, pelajar kolej swasta, mengaku bersalah melakukan kesalahan itu dan memerintahkan tertuduh dipenjara sebulan jika gagal membayar denda.

Mahmud didakwa melakukan kesalahan itu terhadap wanita warga Indonesia itu dengan memeluknya dari belakang dan melakukan beberapa perbuatan lain dengan maksud hendak mencabul kehormatannya.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu dalam bilik air lelaki di sebuah bangunan di Pantai Dalam, Brickfields di sini, pada 7 petang 31 Oktober lalu.

Mahmud didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau dengan denda atau dengan sebat atau antara dua seksaan itu.

Mengikut fakta kes, tertuduh masuk ke dalam tandas itu yang sedang dicuci mangsa berusia 28 tahun dan meminta nombor telefon wanita itu namun

mangsa enggan menyerahkannya.

Tertuduh tiba-tiba memeluknya dari belakang dan mencabul kehormatan wanita itu sebelum keluar dari tandas apabila mangsa menjerit dan menangis. Tertuduh kemudian ditahan pengawal keselamatan bangunan. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 November 2015 @ 5:07 PM