Kamaruddin (baju biru) bersama wakil persatuan pemandu teksi hadir ke IPD Dang Wangi untuk membuat permohonan mengadakan perhimpunan aman daripada PDRM, semalam. FOTO Nabihah Kamal
Oleh Nabihah Kamal


Kuala Lumpur: Lebih 6,000 pemandu teksi merancang berhimpun di Padang Merbok pada 18 November ini untuk menggesa kerajaan mengharamkan aplikasi GrabCar dan Uber.

Penyelaras Perhimpunan Aman Pemandu Teksi, Kamaruddin Mohd Hussain berkata, pihaknya sudah membuat permohonan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mengadakan perhimpunan aman itu.

“Kami hanya ingin meminta kerajaan mengharamkan aplikasi GrabCar dan Uber kerana ia satu aplikasi yang membolehkan pemilik kereta mengambil penumpang tanpa permit.

"Selain itu, kami menggesa Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dirombak kerana tidak memainkan peranan untuk mengekang pemandu teksi tanpa permit," katanya pada sidang media di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, petang tadi.

Menurutnya, peserta perhimpunan akan berkumpul di dua lokasi, iaitu di Jalan Conlay dan Masjid Wilayah sebelum berarak ke Padang Merbok.

"Kami ingin menasihatkan kepada peserta bahawa perhimpunan harus dijalankan secara aman dan dilarang sama sekali membuat provokasi.

"Tambahan pula, perhimpunan ini tiada kaitan dengan sebarang agenda politik," katanya.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Zainol Samah berkata, polis belum memberi sebarang kelulusan berkaitan dengan perhimpunan itu.

"Mereka masih dalam proses untuk memohon kebenaran dari pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). Jika pemilik kawasan berkenaan memberi kebenaran, baru pihak polis luluskan.

"Bagaimanapun, jika tiada sebarang permit dan kebenaran dari pihak DBKL. Perhimpunan berkenaan diklasifikasikan sebagai perhimpunan yang melanggar undang-undang," katanya ketika dihubungi, malam tadi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 November 2015 @ 12:43 AM