Zambry (tengah) menyampaikan Anugerah Media Berinovasi kepada Wan Asrudi yang mewakili HM sempena Malam Anugerah Pelancongan Negeri Perak 2015, malam tadi. FOTO Supian Ahmad
Oleh Muniyantie Musa

Ipoh: Harian Metro (HM) menerima Anugerah Media Berinovasi pada Malam Anugerah Pelancongan Negeri Perak 2015, di sini, malam tadi.

Anugerah disampaikan oleh Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir kepada Ketua Biro HM Perak Wan Asrudi Wan Hasan yang mewakili HM di Hotel Kinta Riverfront Ipoh.

Harian Metro memenangi anugerah berkenaan di atas sumbangan mempromosikan industri perlancongan di Perak melalui pelbagai artikel sepanjang tahun ini.

Zambry dalam ucapannya mengucapkan tahniah kepada Tourism Perak yang berjaya menghimpunkan peneraju industri pelancongan dalam satu majlis yang meriah pada malam ini

"Saya bagi pihak kerajaan negeri sentiasa menghargai kerjasama dan usaha yang dicurahkan dalam menjadikan industri pelancongan sebagai sektor yang memainkan peranan penting bagi menjana ekonomi serta Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Perak," katanya.

Hadir sama pada majlis itu Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Komunikasi dan Multimedia negeri Datuk Nolee Ashilin Mohd Radzi.

Sementara itu, Nolee dalam ucapannya pula berkata, sebagai antara penyumbang utama kepada pembangunan negara, pelancongan adalah ekonomi yang berasaskan masyarakat dan ini memberi peluang keemasan untuk memperkenalkan kepelbagaian budaya dan warisan Perak kepada pelancong domestik atau asing.

"Peningkatan jumlah kemasukan pelancong domestik bagi 2014 adalah sebanyak 7 juta berbanding 2013 iaitu seramai 6.02 juta pelancong.

"Ini adalah jumlah kemasukan pelancong domestik tertinggi di seluruh Malaysia dalam tempoh dua tahun berturut-turut yang menjadi petunjuk kepada kejayaan sektor pelancongan Perak,"katanya.

Dalam majlis berkenaan sebanyak 25 anugerah disampaikan membabitkan sektor pelancongan dan pembangunan Perak.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 November 2015 @ 11:10 PM