Saya memiliki motosikal Suzuki Belang 150 cc. Baru-baru ini, saya membaik pulih bahagian silinder, omboh, gegelang dan klac.

Soalan saya, ketika memecut pada gear satu, apa menyebabkan enjin seakan-akan berat apabila memulas pendikit secara mengejut. Apakah keadan itu biasa bagi Suzuki Belang?

Selain itu, adakah setiap kali membesarkan silinder, jejarum dan jet utama pada karburator harus ditukar seperti kini apabila menggunakan omboh bersaiz 50?

SAFROLNIZAM

Kuala Lumpur

Motosikal menjadi berat kadang­kala akibat penggunaan minyak pelincir yang tidak betul atau jumlah terlalu banyak.

Ia juga mungkin akibat permukaan bahagian enjin terlalu rapat dan me­nyebabkan ia menjadi ketat. Membaik pulih dengan membesarkan silinder dan omboh tidak memerlukan penukaran jejarum, tetapi cukup sekadar menaikkan jarum utama dalam karburetor.

Ia boleh dilaras ketinggiannya untuk membenarkan lebih bahan api masuk, selaras dengan pembesaran sesaran enjin. Bagaimanapun, penukaran jejarum oleh mekanik berpengalaman akan mampu memaksimumkan kecekapan enjin. Penukaran jet utama yang lebih besar akan me­nyebabkan peningkatan penggunaan bahan api dan hanya dilakukan pada motosikal perlumbaan.

Dalam perlumbaan, cara kawalan pendikit adalah berbeza kerana motosikal akan berada dalam julat rpm yang tinggi. Bagi tunggangan biasa, kita akan kerap memperlahankan motosikal atau berhenti di lampu isyarat.

Ketika itu, berlaku lebihan bahan api masuk ke kebuk pembakaran yang menyebabkan enjin melakukan pembakaran kurang sempurna.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 November 2014 @ 5:00 AM