Bersama AHMAD SALIHIN ABD RAHIM


Saya kerap mendengar istilah pemanduan 'defensive' digunakan dan konsep itu mampu mengelak kemalangan. Apa sebenarnya konsep pemanduan itu dan bagaimana mahu melakukannya?

AZIM

Melaka

Memandu atau menunggang adalah menyeronok­kan, mudah dan praktikal. Bagaimanapun, ia tidak bermakna jika anda terbabit dengan kemalangan, lebih-lebih lagi bagi penunggang motosikal. Namun, ia mampu dielak jika peka dengan bahaya.

Pelbagai cara boleh dilakukan untuk mengelak bahaya secara 'defensive', sekali gus mampu mempertahankan diri daripada terbabit kemalangan.

Lazimnya, tumpuan kita akan terpesong apabila memandu dan ketika itu anda terdedah kepada risiko kemalangan. Panduan mudah adalah berhenti menunggang ketika mula hilang tumpuan atau berkhayal.

Tumpukan penglihatan kepada persekitaran, selain kenal pasti ruang untuk me­ngelak dan kelamaan ia menjadikan anda lebih cekap secara semula jadi.

Sebagai contoh, sebuah kereta yang kemek atau bercalar mungkin dipandu seorang kurang berpengalaman dan anda perlu mengawasi pergerakannya.

Jika pemandu kereta di depan menggunakan telefon bimbit atau nampak hilang tumpuan, potong kenderaannya secepat mungkin atau memperlahankan kenderaan anda untuk menjarakkannya.

Selain itu, anda boleh 'membaca' tindakan yang mugkin dilakukan pengguna jalan raya lain. Kemalangan boleh dielak dan itulah asas penunggangan atau pemanduan 'defensive'.

Tindakan awal dan tindak balas anda mampu menyelamatkan nyawa serta pengguna jalan raya lain.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 November 2014 @ 5:00 AM