RUANG penyimpanan atau kabinet ini diperbuat daripada MDF.
Oleh Hartini Mohd Nawi


Kini perabot dan aksesori hiasan berasaskan papan gentian berketumpatan sederhana (MDF) kian popular dan dilihat sebagai alternatif selain kayu.

MDF ialah produk yang dihasilkan daripada gentian, serat, kayu terbuang, bahan penebat air dan pelekat yang melalui proses pemampatan menggunakan suhu dan tekanan tinggi.

Proses penghasilan MDF memerlukan penelitian sepenuhnya bagi memastikan setiap papan yang dikeluarkan berkualiti dalam menghasilkan perabot eksklusif dan tahan lama.

Ia biasanya disadur dengan bahan kemasan untuk mendapatkan permukaan yang berwarna atau mempunyai ira kayu.

Pada masa sama, pokok getah juga dikatakan menjadi bahan mentah bagi menghasilkan MDF yang digunakan untuk pembuatan perabot.

Lebih menarik perhatian apabila MDF turut digunakan secara meluas dalam pembuatan perabot konsep moden dan menjadi elemen pelengkap kepada peralatan sistem bunyi.

Malah, ia turut digunakan dalam lima kategori umum dalam pembinaan sesebuah rumah yang membabitkan beberapa bahagian tertentu.

Ini termasuk tiang, gerbang pintu, dinding bilik, dinding siling, panel pintu, bahan asas bagi produk kayu berlapis dan berlamina untuk lantai serta panel.

Selain itu, ia boleh digunakan untuk membuat acuan bagi hiasan pintu, tingkap termasuk bingkai, panel dan susur serta menjadi acuan seni bina.

Menariknya, MDF melengkapi komponen tertentu seperti alat permainan, kotak pembesar suara, tumit kasut dan meja snuker.

Begitu juga dengan pelbagai aksesori hiasan dalaman yang banyak menggunakan MDF.

Ia dilihat memenuhi kriteria antara material perabot yang memenuhi aspek keselamatan kerana praktikal, mesra alam dan rekaan anjal.

Walaupun lebih berat berbanding papan lapis, ukuran dan kekuatannya konsisten.

Menurut kenyataan Zaldeco Inspirations, produk berkenaan menjadi alternatif kayu pilihan dan asalnya dihasilkan untuk menutup beberapa kelemahan yang sering dihadapi ketika menggunakan papan lapis.

Ini khususnya dalam pembuatan perabot yang mempunyai permukaan kasar, mudah retak dan merekah.

Material MDF sangat halus pada permukaan dan ikatan antara materialnya begitu kuat.

Kini MDF sering menjadi pilihan dan mendapat permintaan tinggi dalam penghasilan perabot untuk kegunaan rumah atau pejabat.

Antara kelebihan MDF ialah permukaannya lebih halus dan rata, mudah dilentur dan dibentuk sebagai rangka asas.

Selain harganya yang jauh lebih murah daripada papan lapis, ketebalan yang lebih praktikal dan permukaannya yang mudah dicat membuatkan ia sering menjadi pilihan.

Kunjungi ruang pameran Zaldeco Inspirations di 161, The Core Sunsuria, Taman Sains Selangor, Kota Damansara, Selangor atau layari blog: zaldeco.blogspot.com atau Facebook Zaldeco Inspirations untuk keterangan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 November 2015 @ 5:05 AM