TAMPAK menarik.
TAMPAK menarik.
Oleh Erywan Norshal


Selepas dipertonton kepada umum beberapa bulan lalu, TC Euro Cars selaku pemegang francais tunggal kenderaan Renault di negara ini melancarkan kereta kompak terbaharu menerusi Renault Clio GT Line.

Renault Clio GT Line dengan pelbagai ciri inovatif membuatkannya lebih menonjol berbanding pesaingnya selepas ditawarkan pada harga menarik iaitu RM118,000 atas jalan tanpa insurans.

Tampil secara eksklusif sebagai model lima pintu dengan gaya coupe yang kemas sekali gus tampak tersendiri dan pada masa sama menawarkan prestasi luar biasa.

Sebagai kereta urban, ia memiliki pengendalian mantap dan jimat minyak dengan enjin Kawalan Kecekapan Turbo atau TCe 120 Renault.

Rangkaian kuasa modennya hadir dalam sesaran enjin empat silinder kecil pengecas turbo dan menyediakan kuasa sehingga 120 PS dan tork maksimum 190Nm dengan pecutan antara 0-100 kilometer sejam (km/j) dalam 9.9 saat.

Pada masa sama, enjin itu menawarkan penjimatan sehingga 5.2 liter bagi 100km dengan pelepasan emisi karbon dioksida cuma 120g/km.

Demi menambah pengendalian serta kestabilan terbaik, rekaan suspensi Renault Clio GT Line dibangunkan untuk menawarkan pemanduan yang tepat, selain kurang bising dan getaran.

Pengendaliannya juga lebih responsif ketika mengambil selekoh, selain tampil bergaya dengan rekaan berani membabitkan jeriji, rekaan GT pada bampar hadapan dan belakang, lip spoiler belakang yang tersendiri, lampu nyalaan siang LED serta kemasan krom pada ekzosnya.

Penampilan itu kemudian disempurnakan dengan rim aloi istimewa bersaiz 17 inci, acuan pelindung dengan kemasan besi serta perumah cermin sisi berwarna gelap.

Renault Clio GT Line menggunakan sepenuhnya dimensi untuk menawarkan ruang kabin yang luas untuk penumpang hadapan dan belakang.

Kabin itu menawarkan banyak tempat penyimpanan barang dan ruang kargo kapasiti 300 liter yang boleh ditingkatkan menjadi 1,146 liter apabila tempat duduk belakangnya dilipat.

Ia juga ditawarkan sistem audio MediaNav dengan skrin sentuh bersaiz tujuh inci bersama padanan USB dan telefon, selain dilengkapi teknologi terkini membabitkan lampu utama automatik, alat pengesan hujan, sistem kemasukan tanpa kunci serta butang penghidup enjin.

Renault juga mengambil berat ciri keselamatan apabila jentera berkenaan menerima penarafan lima bintang Euro NCAP apabila dilengkapi empat beg udara keselamatan.

Di samping itu, satu alat pengesan tekanan untuk mengesan impak serta meningkatkan aspek perlindungan pejalan kaki terutama pada bahagian kepala, kaki dan pinggul sekiranya berlaku perlanggaran.

Renault Clio GT Line hadir dalam empat warna membabitkan biru, hitam, putih dan merah. Ia juga hadir bersama jaminan pengeluaran lima tahun tanpa had perbatuan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 November 2015 @ 5:07 AM