BARISAN pemain  Legenda FC sebelum perlawanan di  Stadium Tun Fatimah Bukit Serindit, baru baru ini.
BARISAN pemain Legenda FC sebelum perlawanan di Stadium Tun Fatimah Bukit Serindit, baru baru ini.
Oleh Nazri Abu Bakar


Melaka: Bekas bintang bola sepak Olimpik 1972 dan 1980, Datuk Soh Chin Aun, 66, membuktikan sentuhannya masih berbisa dan ia dibuktikan ketika bermain pada perlawanan persahabatan antara pasukan Legenda FC dan Kenneth Pang’s FC di Stadium Tun Fatimah Bukit Serindit, baru-baru ini.

Walaupun dia yang mewakili Legenda FC tewas 1-4 dalam perlawanan berkenaan, namun aksi dan kemahirannya tetap menyerlah walaupun tidak lagi sehebat ketika menyarung jersi negara, pilihan Asia, Selangor dan Melaka sekitar era 70-an dan 80-an.

Penyelaras perlawanan, Low Tiam Seng berkata, pengalaman Chin Aun mewakili negara sebanyak 252 kali nyata amat menakjubkan terutama menerusi kawalan bolanya yang masih baik.

Menurutnya, usia bukan halangan buat bekas kapten kebangsaan itu memperaga persembahan terbaik bagi menyaingi pemain yang lebih muda.

Beliau berkata, antara pemain yang beraksi untuk skuad Legenda FC termasuklah bekas bintang Negeri Sembilan Ching Ong Aik, Samsurin Abd Rahman dan Datuk Gary Choo yang juga masih memiliki sentuhan hebat.

“Kemenangan bukan matlamat sebenar perlawanan persahabatan terbabit sebaliknya ia antara usaha mengembalikan kenangan peminat kepada bekas pemain selain pentas mengeratkan hubungan kekeluargaan.

“Perlawanan ini juga medan mengukuhkan perpaduan berbilang kaum, sekali gus menyokong usaha ke arah ikatan intergrasi nasional dan semangat 1Malaysia,” katanya.

Menurutnya, pembabitan pemain veteran amat menyokong kepada pembangunan industri bola sepak, sekali gus mendidik pemain baru untuk memiliki semangat dan komitmen tinggi menjulang nama negeri dan negara dalam sukan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 November 2015 @ 5:20 AM